PERMATANG PAUH: Penganjuran Kursus Asas Pertahanan Awam dapat membentuk ahli Pasukan Institusi Pertahanan Awam (Pispa) menjadi lebih berdaya saing dalam aspek pengurusan bencana selain mempunyai semangat tinggi dalam aspek kesukarelawanan.
Pada masa sama, penganjuran kursus itu diharap dapat melahirkan lebih ramai ahli Pispa yang sentiasa menghayati nilai-nilai positif dan dapat menterjemahkannya ke dalam kehidupan seharian supaya dapat memberikan kesan yang baik terhadap masyarakat.
Pengarah Kolej Komuniti Seberang Jaya (KKSJ) yang juga Pengerusi Pispa kolej tersebut, Husaini Aza Mohd. Adam berkata, sehubungan itu, pihaknya komited dan prihatin membina sebuah pasukan Pispa yang lebih mantap sebagai persediaan membantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam kerja-kerja berkenaan.
“Pispa KKSJ mempunyai strategi tersendiri bagi melatih dan meningkatkan kemahiran ahlinya dalam meningkatkan ilmu pertahanan awam kerana kesiapsiagaan seperti ini penting dalam menghadapi sebarang bentuk bencana atau kecelakaan,” katanya di sini baru-baru ini.
Terdahulu, KKSJ dipilih sebagai tuan rumah untuk kursus asas tersebut yang berlangsung dua hari iaitu pada 10 dan 11 November lalu dengan disertai beberapa kolej komuniti lain di Pulau Pinang.
Antaranya termasuk Kolej Komuniti Bayan Baru (KKBB); Kolej Komuniti Kepala Batas (KKKB); Kolej Komuniti Tasek Gelugor (KKTG); Kolej Komuniti Bukit Mertajam (KKBM) serta Kolej Komuniti Nibong Tebal (KKNT).
Kursus asas yang disertai 36 peserta itu diadakan bertujuan meningkatkan ilmu pengetahuan serta kemahiran kepada ahli Pispa berkaitan asas Pertahanan Awam selain meningkatkan kefahaman berkaitan pengurusan bencana mengikut prosedur yang betul serta menambah keyakinan dan semangat kerjasama dalam kalangan pelajar.
Antara pengisian dalam kursus berkenaan termasuk Asas Pertolongan Cemas, Asas Balutan (Teori & Praktikal), Rawatan Bantuan Pernafasan (CPR), Asas Menyelamat serta Asas Kimia Kebakaran yang disampaikan oleh jurulatih daripada APM. -UTUSAN ONLINE










