Belanja urus Terengganu tahun depan RM1.657 bilion - Utusan Malaysia

Belanja urus Terengganu tahun depan RM1.657 bilion

AHMAD Samsuri Mokhtar memegang buku Belanjawan Terengganu 2022 yang bertemakan ‘Merakyatkan Sejahtera Untuk Semua’ dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-14 di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Perbelanjaan mengurus Terengganu meningkat kepada RM1.657 bilion dalam Belanjawan 2022 pada tahun depan berbanding RM1.37 bilion, tahun sebelumnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, menerusi perangkaan itu kerajaan negeri menganggarkan hasil sebanyak RM1.507 bilion dengan RM61.02 juta adalah daripada cukai diikuti RM157.49 juta (hasil bukan cukai) dan RM1.28 bilion (terimaan bukan hasil termasuk royalti petroleum).

Katanya, Belanjawan Terengganu 2022 yang bertemakan ‘Merakyatkan Sejahtera Untuk Semua’ itu dirangka setelah mengambil kira situasi semasa, menimbang permintaan dan keperluan rakyat di samping menyemak kedudukan kewangan serta keupayaan jentera kerajaan negeri.

“Daripada RM1.657 bilion perbelanjaan mengurus itu, sebanyak RM92.99 juta diperuntukkan bagi tanggungan dan RM1.56 bilion (bekalan).

“Bagi perbelanjaan pembangunan pula membabitkan peruntukan sebanyak RM600 juta dengan RM436.92 juta bagi sektor sosial manakala RM137.28 juta (pentadbiran) dan RM25.8 juta (ekonomi) manakala perbelanjaan bekalan air (RM40 juta),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2022 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-14 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Samsuri berkata, belanjawan berkenaan mengandungi 147 inisiatif membabitkan 22 objektif daripada lima teras yang digariskan.

Katanya, teras itu ialah memperkuat daya tahan isi rumah, memperkukuh kesejahteraan sosial masyarakat, memperbaik ketersediaan kemudahan awam rakyat, mendayakan pertumbuhan ekonomi negeri di samping memperindah persekitaran dan melindungi alam.

Dalam pada itu, beliau berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri pada tahun depan diunjur meningkat kepada antara 3 hingga 3.4 peratus di samping sasaran mewujudkan 4,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor pada 2022. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN