Bank Islam lulus kemudahan pembiayaan RM360 juta - Utusan Malaysia

Bank Islam lulus kemudahan pembiayaan RM360 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad meluluskan kemudahan pembiayaan berjumlah RM360 juta kepada Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) dan Selgate Healthcare Sdn. Bhd. (Selgate) untuk perolehan, pengeluaran dan pengedaran vaksin Covid-19 sebagai sokongan kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, pihak bank sentiasa bersedia untuk memberi sokongan yang diperlukan pelanggan termasuk meluluskan kemudahan pembiayaan dengan terma dan syarat fleksibel bagi membantu syarikat terlibat dalam rantaian bekalan berkaitan Covid-19 mendapatkan bekalan yang diperlukan. 

Jelasnya, buat masa ini, pendedahan bank terhadap industri penjagaan kesihatan berjumlah lebih RM250 juta dan pihaknya turut menyediakan kemudahan kewangan kepada syarikat dengan keperluan segera untuk melawan pandemik ini secara efektif.

“Ekonomi Malaysia dijangka bertambah baik dengan peluasan lebih banyak aktiviti ekonomi, terutamanya dengan kebenaran rentas negeri dan perjalanan ke luar negara namun ancaman jangkitan Covid-19 masih berlaku kerana jumlah kes positif dalam negara masih tinggi. 

“Dengan pengenalan suntikan penggalak untuk membendung penularan wabak virus ini dengan lebih baik, Bank Islam berbesar hati untuk membiayai kedua-dua Pharmaniaga dan Selgate untuk membekalkan vaksin diperlukan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md. Eusope memberitahu, pihaknya bersedia untuk menyediakan vaksin jenis Sinovac kepada kerajaan negeri dan sektor swasta sebaik sahaja kebenaran diperoleh daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, sebagai dos penggalak. 

“Syarikat menjangkakan permintaan daripada pelbagai sektor dalam mendapatkan dos suntikan penggalak untuk membantu merangsang pertumbuhan ekonomi sebagai sebahagian daripada Pelan Pemulihan Negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Selgate Corporation, Noor Hisham Mohd. Ghouth berkata, kemudahan pembiayaan daripada Bank Islam amat membantu, terutama dalam krisis semasa dengan kecairan kekal sebagai kunci utama dalam menjaga kehidupan rakyat. 

“Berikutan kejayaan memvaksinasi lebih 90 peratus populasi dewasa pada Oktober lalu, kami sedang bersiap sedia untuk menyediakan dos suntikan penggalak kepada penerima vaksin Sinovac sebelum ini melalui program SELVAX dan mana-mana individu berumur lebih 18 tahun yang ingin mendapatkan dos suntikan penggalak. 

“Kami juga terbuka kepada pembelian pukal vaksin daripada klinik dan hospital swasta,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya