ALOR SETAR: Kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM2.07 juta bagi membaiki kerosakan infrastruktur yang rosak akibat kejadian banjir yang berlaku di negeri ini, baru-baru ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kelulusan tersebut dibuat menerusi mesyuarat exco semalam bagi memastikan kemudahan di bawah pengurusan kerajaan negeri dapat dibaiki secepat mungkin demi manfaat rakyat.
“Sebagai contoh, peruntukan itu akan digunakan untuk membaiki titi-titi yang patah, jalan terputus atau saluran yang rosak.
“Mana yang penting buat rakyat, itu yang kita akan baiki dulu. Selepas ini, kita akan terus pantau bagaimana keadaannya apabila air surut secara keseluruhan,” katanya.
Muhammad Sanusi berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Executive Talk Perundangan Perancangan Bersama Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan 2021 di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk M. Noor Azman Taib.
Mengulas mengenai kejadian banjir termenung yang kini sudah hampir mencecah tiga minggu untuk surut di Pendang, Muhammad Sanusi berkata, keadaan itu mungkin disebabkan oleh kesan rancangan tebatan banjir (RTB) yang masih belum siap sepenuhnya hingga mengakibatkan aliran air menjadi tidak lancar.
“Selain itu, fenomena air pasang besar juga mungkin menyebabkan air banjir itu lambat untuk mengalir keluar dari kawasan sepatutnya. Kita berharap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dapat kemukakan cadangan baharu untuk selesaikan masalah ini,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, kerajaan negeri menafikan kejadian kepala air di Hutan Lipur Bukit Wang dua hari lalu berpunca daripada kegiatan pembalakan seperti didakwa pihak tertentu di media sosial.
“Di Bukit Wang tak ada pembalakan. Apa yang berlaku itu semuanya akibat hujan lebat,” katanya. -UTUSAN ONLINE










