Bajet 2022: Perak mahu tingkat hasil padi setanding Kedah, Selangor - Utusan Malaysia

Bajet 2022: Perak mahu tingkat hasil padi setanding Kedah, Selangor

RAZMAN Zakaria (tengah) menyampaikan sumbangan Deepavali kepada penduduk di Semanggol dekat Bagan Serai hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Kerajaan negeri akan menggunakan peruntukan pertanian dalam Bajet 2022 untuk meningkatkan hasil padi negeri ini setanding dengan Kedah dan Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata,  purata hasil tanaman padi di Perak kini sekitar 3.1 tan metrik sehektar.

Menurutnya, kadar itu jauh lebih rendah berbanding Kedah dan Selangor yang menghasilkan sehingga sembilan hingga 10 tan tan padi sehektar.

“Dalam Bajet 2022, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan diperuntukkan RM4.82 bilion melibatkan perbelanjaan mengurus RM3.28 bilion dan perbelanjaan pembangunan RM1.54 bilion.

“Perak akan memanfaatkan peruntukan yang diberikan nanti untuk mencari kaedah meningkatkan hasil padi di negeri ini.

“Walaupun peruntukan itu belum diperinci dan diagihkan, kerajaan negeri telah merangka untuk memfokuskan ke arah mengatasi masalah kesuburan tanah, pengairan dan infrastruktur.

“Ini bagi membolehkan pesawah di Perak mampu memperoleh hasil padi setaraf dengan Kedah dan Selangor iaitu sembilan hingga 10 tan metrik sehektar,”  katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan sempena Deepavali kepada 100 masyarakat keturunan India di Dewan Orang Ramai Kampung Jaya, Semanggol di sini hari ini.

Menurut Razman, agensi berkaitan pertanian seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Kawasan Pertanian Pembangunan Bersepadu (IADA) dan Jabatan Pertanian perlu berbincang mengenai kaedah yang boleh meningkatkan hasil padi.

“Sekiranya hasil padi mencapai sasaran, pesawah tidak lagi bergantung sepenuhnya pada bantuan kerajaan,” katanya.

Mengenai tuntutan pesawah yang mahukan bantuan RM600, iaitu bantuan sementara menunggu padi masak dikembalikan, Razman berkata, perkara itu belum diperincikan lagi.

Razman sebaliknya mahu pesawah tidak terlalu memikir atau mengharap bantuan kerajaan semata-mata tetapi juga memikirkan cara hendak menyuburkan tanah sawah bagi meningkatkan hasil padi.

“Kerajaan tidak pernah mengabaikan golongan petani dan  sentiasa berusaha mencari kaedah serta peruntukan bagi membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

“Kerajaan menyasarkan golongan petani mampu memperoleh pendapatan sehingga RM10,000 sebulan sekiranya mereka berusaha,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN