PETALING JAYA: Baituljannah Sdn. Bhd., syarikat yang menjalankan perkhidmatan carian jodoh Muslim melalui platform Baituljannah.com membuka peluang kepada semua golongan terutama suri rumah daripada keluarga B40 menjana pendapatan di samping menguruskan keluarga.
Menerusi Program Affiliate ini, individu boleh mendaftar secara percuma seterusnya berpeluang menjana pendapatan bulanan sehingga empat angka sekali gus membantu meningkatkan ekonomi sesebuah keluarga.
Ejen affiliate akan menerima pautan URL beserta ID masing-masing dan kemudian hanya perlu kongsikan di media sosial mengajak rakan-rakan yang sedang mencari jodoh untuk mendaftar di Baituljannah.
Pengarah Urusan Baituljannah, Dr. Wan Hasifi Amin Wan Zaidon berkata, sejak program dilancarkan pada November 2019 sehingga Oktober 2021 seramai 4,603 individu telah menyertainya dan menjadikannya sebagai sumber sampingan untuk perbelanjaan keluarga.
Ujarnya, berdasarkan data direkodkan syarikat, jumlah itu meliputi 72.97 peratus ejen dari kalangan lelaki iaitu seramai 3,359 orang manakala 27.03 peratus melibatkan 1,244 terdiri daripada ejen wanita.
“Susulan pandemik Covid-19, semua pihak terkesan daripada aspek ekonomi terutama yang kehilangan kerja serta sumber pendapatan. Maka, atas faktor ini dan rasa simpati dengan bebanan dihadapi masyarakat, Baituljannah mahu membantu mereka dengan membuka tawaran mereka menyertai program ini secara percuma.
“Syarikat berhasrat untuk membantu lebih ramai individu meningkatkan taraf ekonomi mereka. Ini membolehkan mereka keluar daripada kelompok kumpulan B40 daripada tahap B1 kepada B2 dan seterusnya, malah pendapatan mereka ini dapat memindahkan mereka daripada B40 kepada M40,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Wan Hasifi Amin, penubuhan Program Affiliate ini sememangnya merupakan alternatif syarikat untuk mempromosi dan meluaskan pasaran perniagaan lebih jauh namun ia dilihat mampu menjadi serampang dua mata kepada masyarakat dengan memberi manfaat besar.
Kata beliau, para graduan yang masih belum bekerja serta pempengaruh media sosial juga digalakkan menyertai program ini kerana terdapat pempengaruh yang mampu meraih pendapatan sehingga mencecah lima angka.
“Indvidu yang menyertai program berkenaan ditawarkan bayaran setimpal namun kerajinan menjadi faktor utama menjana keuntungan lebih tinggi. Berdasarkan rekod, terdapat ejen-ejen yang mampu meraih RM200 sehari dan pendapatan bulanan yang tinggi.
“Syarikat berharap dapat membantu lebih ramai individu dan memulihkan kembali ekonomi di saat pasca Covid-19 ini. Peluang ini harus dimanfaatkan sebaiknya. Kecanggihan teknologi ini juga mampu menambah pendapatan keluarga walaupun hanya duduk di rumah,” jelasnya.
Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat seterusnya mendaftar di https://baituljannah.com/affiliateprogram. – UTUSAN