KOTA TINGGI: Bagi mengimbangi impak pembangunan khususnya di kawasan Pengerang, kerajaan negeri akan memastikan kawasan alam semula jadi di daerah tersebut akan terus dipelihara.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, pembangunan dalam industri minyak dan gas di Pengerang adalah sesuatu yang perlu dilakukan.
Beliau tidak menafikan pembangunan berkenaan sedikit sebanyak telah memberi impak terhadap kualiti udara di kawasan berkenaan.
“Pembangunan di Pengerang dan Dasar Perubahan Iklim Negara perlu diseimbangkan. Jadi, saya dan Pegawai Daerah melihat Kota Tinggi perlu dijaga dan dipelihara kawasan alam semula jadinya terutama kawasan hutan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hak Milik Tanah peringkat Dua, Felda Lok Heng Timur di Kompleks Sukan Komuniti, Felda Lok Heng Timur sempena lawatan kerja ke Daerah Kota Tinggi, di sini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salehuddin Hassan; Pengarah Tanah dan Galian, Datuk Mohammed Ridha Abd. Kadir dan Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hazlina Jalil.
Hasni berkata, melalui lawatan tersebut memberi peluang kepada beliau dan kepimpinan negeri untuk duduk berbincang bersama-sama kepimpinan di peringkat daerah bagi mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang berlaku di situ.
Jelasnya, selain soal pembangunan di Pengerang, antara isu lain yang dibangkitkan adalah berkaitan pencerobohan kumpulan gajah liar dan masalah bekalan air di Felda Lok Heng.
“Oleh itu kedatangan rombongan kerajaan negeri adalah untuk berbincang dan menyusun penyelesaiannya mengikut keutamaan termasuk isu air di Felda Lok Heng ini,” katanya.
Terdahulu, pada majlis itu, seramai 225 peneroka peringkat dua di Felda berkenaan menerima hak milik tanah masing-masing, manakala bagi hak milik peringkat ketiga nanti, lebih 40 peneroka akan menerima hak milik mereka.
Hasni memulakan lawatan tersebut dengan menghadiri sesi libat urus bersama kepimpinan daerah di Desaru Coast Conference Centre yang dimulakan sesi taklimat mengenai dasar Belanjawan Johor 2022 dan taklimat Projek Pembangunan RP 1: RMK 12.
Beliau turut melawat Projek Perumahan Taman Penawar Harmoni, Bandar Penawar serta menyerahkan Sijil Layak Menduduki Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) taman berkenaan sebelum singgah di Pusat Pengisytiharan Pendaratan Ikan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Musoh untuk beramah mesra dengan komuniti nelayan di situ.
Pada lawatan itu, Hasni turut menyerahkan Geran Pemberian Terus Pejabat Menteri Besar Johor kepada Persatuan Nelayan Kawasan serta menyampaikan sumbangan Bakul Makanan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI). -UTUSAN ONLINE