MUKADIMAH
DATUK Seri Shamsul Iskandar Md. Akin bukan asing bagi penduduk di Parlimen Hang Tuah Jaya. Beliau merupakan ahli parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) di kawasan tersebut. Menarik tentang Shamsul Iskandar ialah beliau pernah menewaskan bekas ketua menteri ketika itu, Tun Mohd. Ali Rustam di Parlimen Bukit Katil pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini, beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput berdepan empat lagi calon daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Putra dan Bebas.
Kepada wartawan Meor Harman Meor Shakri, beliau mengupas tentang peluang calon jawatan ketua menteri dan kempen kotor parti politik.
Bagaimana Datuk melihat saingan di Paya Rumput?
Saingan pada saya sengit kerana kita lihat calon BN pun kuat daripada ahli Majlis Tertinggi UMNO. Begitu juga calon PN. Mereka tahu kedudukan dalam Paya Rumput ini. Dan kita ada dua calon Putra dan Bebas yang saya fikir tidak boleh perkecilkan kelebihan mereka.
Bagaimana Datuk melihat peluang di kerusi ini?
Saya fikir saya ada sedikit kelebihan kerana PN dan BN parti yang pada saya akan memberi saingan yang kuat sedang berbalah sesama sendiri. Pengundi Paya Rumput ini yang terdedah kepada pelbagai maklumat.
Ada pihak yang mengatakan Datuk calon paling sesuai sebagai ketua menteri?
PH telah mengumumkan calon ketua menteri, jadi saya fikir kita tidak perlu polemikkan isu ini.
Bagaimana dengan surat yang tersebar oleh pihak tertentu baru-baru ini tentang cadangan mencalonkan Datuk Seri Idris Haron sebagai ketua menteri?
Ia viral. Tapi surat itu adalah ketika mana berlakunya proses penarikan sokongan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mana tiga daripada mereka merupakan Exco kerajaan negeri daripada menyokong kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Dalam konteks itu terdapat kesepakatan antara Adly Zahari dan kalangan ahli dan Idris untuk beri sokongan. Ketika itu dan sekarang Adly bertindak sebagai Pengerusi PH negeri. Pada ketika itu, bagi saya beliau memberikan sokongan sebagai Pengerusi PH. Tentulah yang memviralkan itu mempunyai niat yang bertujuan untuk memburuk-burukkan imej beliau.
Bagaimana dengan kerusi-kerusi lain yang ditandingi PH?
Sengit kerana kita tidak anggap bahawa walaupun berlaku tiga penjuru jalan kita akan mudah. Setiap pilihan raya mempunyai cara yang sendiri. Kempen kita lebih fokus, dalam PRU-14 ia lebih umum. Walaupun ini PRN tapi kita ada sokongan daripada Persekutuan. Jadi ini yang menyebabkan pilihan raya ini sengit dan kita tidak ambil mudah. -UTUSAN










