SEREMBAN: Seorang warga emas berusia 96 tahun kekal untuk menggunakan al-Quran yang diwarisi dari arwah ibunya sejak tahun 1976 untuk dibaca olehnya setiap hari.
Abu Bakar Ismail dari Taman Desaria, Nilai di sini berkata, walaupun sudah kelihatan lusuh, dengan al-Quran itulah dia kini telah khatam al-Quran sebanyak 121 kali.
Jelasnya, dia tidak mahu menukar kepada al-Quran yang baharu kerana sudah terbiasa dan menghafal setiap muka surat al-Quran lusuh tersebut.
“Saya sudah lama menggunakan al-Quran ini dan saya tidak mahu menukarnya walaupun ada yang membelikan al-Quran baharu untuk saya. Bagi saya, ia sangat sentimental dan saya juga sudah menghafal muka surat mana yang hendak dicari.
“Walaupun agak lusuh dan kadang kala ada bahagian muka surat yang terkoyak saya akan memperbaikinya dan melekatkannya balik menggunakan pita selofan. Saya hanya mahu menggunakan al-Quran ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Abu Bakar yang berasal dari Muar, Johor berkata, dia kini tinggal bersama anak bongsunya Rosleena, 51, selepas kematian isteri, Hamidah Ali sejak 13 tahun lalu.
Bercerita lagi, dia memberitahu sebelum ini pernah bekerja dalam bidang pembinaan di Johor dan beberapa buah negeri namun dia tetap sentiasa mengamalkan membaca al-Quran selepas solat fardu bersama rakan sekerjanya.
“Ketika saya bekerja saya sentiasa mengamalkan membaca al-Quran bersama rakan sekerja warganegara Indonesia. Ada kalanya mereka (pekerja Indonesia) itu lebih mengetahui cara bacaan yang lebih baik dari saya.
“Bermula daripada situ saya dan rakan mengambil sedikit ruang selepas solat maghrib hingga ke waktu isyak untuk mengaji al-Quran bersama-sama,” katanya.
Abu Bakar yang mempunyai seramai 10 anak, 29 cucu dan 34 cicit itu memberitahu, dia juga sering mencatat nota setiap kali membaca al-Quran berkenaan.
“Saya gemar mencatat, jadi, saya akan pastikan saya menulis sedikit nota di atas kertas putih bagi mengingati kembali mana yang saya baca. Saya juga sering mengamalkan zikir setiap hari.
“Alhamdulillah sehingga sekarang mata saya masih terang untuk membaca al-Quran dan tidak memakai sebarang kaca mata,” katanya.
Kisah Abu Bakar tersebut turut mendapat perhatian bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menziarahi dan menyampaikan bantuan kepadanya pada hujung minggu lalu. -UTUSAN ONLINE