Wanita nyaris maut dihempap meteorit ketika tidur - Utusan Malaysia

Wanita nyaris maut dihempap meteorit ketika tidur

METEORIT yang jatuh menembusi bumbung rumah Ruth Hamilton lalu mendarat di bantal bersebelahan tempat tidurnya. - RUTH HAMILTON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VANCOUVER: Seorang wanita di Kanada nyaris maut apabila sebuah meteorit jatuh menembusi bumbung rumahnya lalu mendarat di bantal bersebelahan ketika tidur.    

Lapor Daily Mail, ketika kejadian, Ruth Hamilton terbangun selepas mendengar bunyi dentuman kuat dan debu di wajahnya pada 4 Oktober lalu.

“Saya bangun dari katil dan memasang lampu, ketika itu saya tidak pasti apa yang sudah berlaku,” katanya kepada Victoria News.

Dilaporkan, sebelum kejadian itu, para penduduk menikmati pemandangan meteor di Tasik Louise yang terletak kira-kira 84 kilometer timur.

Jelas Hamilton, dia melihat sebuah bongkah batu di bantal bersebelahan tempat tidurnya sebelum menghubungi talian kecemasan 911 untuk mendapatkan bantuan.

Selepas itu, Hamilton dan seorang pegawai membuat panggilan untuk mengesahkan sama ada serpihan itu dari tapak pembinaan di Kicking Horse Canyon.

“Kami menghubungi pihak pengurusan projek untuk mengetahui sekiranya mereka meletupkan sesuatu ketika kerja pembinaan.  

“Namun, mereka mendakwa melihat satu cahaya terang di langit meletup dan menyebabkan dentuman itu,” kata Hamilton.    

Akhirnya, mereka berpuas hati dan percaya batu yang jatuh menembusi bumbung rumahnya adalah meteorit.

Hamilton tidak mengalami sebarang kecederaan dan merancang untuk menyimpan batu itu sebagai kenangan bagi cucunya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.