KUALA KRAI: Pengembaraan rakyat menaiki kereta api ke Dabong yang ‘terhenti’ lebih lima bulan ekoran penularan pandemik, bersambung semula selepas kerajaan membenarkan sektor pelancongan beroperasi.
Susulan itu, fenomena Train to Dabong yang pernah tular dalam media sosial tahun lalu, kembali menjadi bualan apabila semakin ramai memanfaatkan kelonggaran diberikan kerajaan untuk merentas daerah dan ‘mengembara’ ke Dabong.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pelbagai pihak yang terbabit dengan sektor pelancongan di Dabong mengakui, suasana itu amat melegakan mereka selepas berbulan-bulan ‘direhatkan’ dan hilang punca rezeki.
Malim gunung yang turut bertindak sebagai jurupandu alam, Nik Ali Nik Muhammad berkata, dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini, Dabong yang suram kembali meriah dengan pelbagai aktiviti riadah dilakukan pengunjung.
“Situasi sekarang tidaklah serancak dulu, namun saya yakin bakal pulih dalam masa terdekat. Sejak industri pelancongan dibenarkan beroperasi, kami mula tidak menang tangan menerima tempahan orang ramai.
“Kami bersyukur sangat-sangat daerah ini kembali menjadi tumpuan pelancong domestik. Jika rentas negeri dibenarkan, saya yakin fenomena Train to Dabong akan tercetus semula,” katanya di sini hari ini.
Pemilik rumah tumpangan, Rose House, Mohd Din Deraman pula memberitahu, sudah dua minggu berturut-turut kesemua enam bilik penginapan disediakan pihaknya penuh ditempah pengunjung.
“Walaupun bulan Oktober baru bermula, tempahan bilik untuk bulan ini sudah penuh, hanya tinggal tempahan untuk November sahaja,” katanya
Turut tidak menang tangan melayani pelanggan terutama pada hujung minggu ialah Rohani Hussin, pemilik Che Da Mee Udang Galah, sebuah warung tumpuan yang terletak berhadapan Stesen Keretapi Dabong.
“Saya lega dapat berniaga seperti biasa. Sebelum ini saya terpaksa menanggung kerugian besar apabila udang tidak laku hingga rosak begitu sahaja kerana tiada pelanggan yang singgah ke warung,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, langkah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan perkhidmatan tren Diesel Multiple Unit (DMU) yang laju dan selesa menjadi faktor menggalakkan orang ramai berkunjung ke Dabong.
“Saya berharap pengunjung terus patuh pada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan setiap kali mereka keluar beriadah di sekitar Dabong bagi mengelak penularan virus Covid-19,” katanya. -UTUSAN ONLINE