Tindakan China ceroboh sempadan negara perlu tindakan tegas - Utusan Malaysia

Tindakan China ceroboh sempadan negara perlu tindakan tegas

ABDUL AZIZ JULKARNAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda UMNO Sabah mengutuk tindakan China yang disifatkan biadap kerana cuba menggugat kedaulatan negara dengan menceroboh perairan dan sempadan negara.

Seiring dengan itu, Pemuda UMNO Sabah akan membuat bantahan secara bertulis kepada Kementerian Luar bagi mendesak satu pelan tindakan dibuat untuk menyelesaikan isu pencerobohan di perairan negara ini.

Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain berkata, kerajaan perlu bersikap lebih tegas terhadap China yang dilihat semakin berani menceroboh perairan dan sempadan negara.

“Isu ini menyentuh kedaulatan negara dan kami selaku Pemuda UMNO Sabah mengutuk sekeras-kerasnya tindakan China.

“Tindakan China ini agak biadap dan tidak menghormati perjanjian antarabangsa termasuk keputusan Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa The Hague, Belanda yang mengenepikan tuntutan China ke atas Laut China Selatan,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut katanya, suhu di Laut China Selatan kembali tegang berikutan persaingan kuasa besar di wilayah yang paling strategik di dunia. Situasi ini menimbulkan ancaman besar kepada kebanyakan negara termasuk Malaysia.

Abdul Aziz berkata, Laut China Selatan dijangka akan menjadi platform proksi antara Blok Barat dan Timur berikutan perlumbaan kuasa besar antara Amerika  Syarikat (AS) dan Britain serta China dan Rusia. Persaingan ini dijangka berterusan dan Laut China Selatan akan menjadi pentas peperangan antara kedua-dua blok kuasa besar ini.

Menurutnya, Amerika Syarikat menghantar kapal pengangkut USS Benfold pada 21 Julai di Laut China Selatan dengan menjadikannya pelantar kekal untuk menjamin keselamatan dan keamanan di perairan itu termasuk negara di sekitarnya seperti Malaysia, Brunei, Taiwan dan Vietnam.

Jelas beliau, kerajaan perlu bersikap lebih tegas dan tidak tunduk dengan tekanan daripada China kerana perairan Sabah sangat kaya dengan hasil bumi dan merupakan destinasi pelancongan yang memberikan pulangan ekonomi yang besar kepada negara.

“Isu melibatkan kedaulatan negara tidak boleh dipandang ringan. Selama berdekad-dekad China menuntut hak maritim di perairan Laut China Selatan yang merupakan laluan perkapalan ke Asia Timur.

“Konflik dan pertikaian itu semakin parah ekoran tindakan China membuat tuntutan ke atas gugusan pulau di perairan berkenaan hingga mencetuskan ketegangan di Asia Tenggara,” katanya.

Pada Februari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, isu tuntutan maritim di perairan Laut China Selatan dan kaedah penyelesaiannya perlu dibuat secara aman berdasarkan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS). -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN