JOHOR BAHRU: Hasrat tiga lelaki yang mahu menerima pulangan lumayan dalam tempoh singkat melalui pelaburan emas akhirnya hanya terpaksa berputih mata apabila mereka ditipu pengendali skim terbabit.
Ia selepas polis menerima laporan daripada mangsa berhubung kes penipuan skim pelaburan Gold Hub International.com dengan nilai kerugian sekitar RM120,000.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan, kelmarin.
“Mangsa memaklumkan, mereka ditawarkan pulangan antara lapan hingga 11 peratus dalam tempoh tiga hari dengan pakej serendah RM300.
“Sehingga hari ini, seramai tiga mangsa berusia antara 25 hingga 50 tahun telah tampil membuat laporan polis berhubung skim penipuan ini dengan anggaran kerugian RM120,000.
“Ketika ini, siasatan sedang dijalankan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Mohd. Sohaimi menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang skim pelaburan yang menawarkan pulangan tinggi dan tidak munasabah daripada mana-mana pihak.
“Orang ramai boleh membuat semakan melalui laman web rasmi Bank Negara Malaysia sebelum mengambil keputusan untuk melabur dengan mana-mana pihak atau syarikat,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE