JAKARTA: Agensi Siasatan Jenayah Polis Indonesia turun padang bagi membantu siasatan berkenaan kes seorang lelaki yang didakwa merogol tiga anak perempuannya yang masing-masing berusia bawah 10 tahun.
Lapor Detik News, kertas siasatan kes tersebut dibuka semula selepas polis menemukan beberapa bukti baharu.
Terdahulu, ibu tiga kanak-kanak perempuan itu memberitahu polis menghentikan siasatan kerana tidak mempunyai bukti yang kukuh.
Jurucakap polis, E Zulpan menyatakan, kes tersebut dilihat lebih kepada pencabulan kerana berdasarkan laporan perubatan, tiada tanda ketiga-tiga kanak-kanak itu dirogol.
“Pemeriksaan kesihatan sudah dilakukan sebanyak dua kali terhadap kesemua mangsa dan tiada tanda mereka dirogol,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Perhubungan Awam Polis, Argo Yuwono berkata, pasukan agensi siasatan jenayah sudah pun bertolak ke Sulawesi Selatan untuk membantu siasatan kes tersebut.
Katanya, pasukan dari Kementerian Pemerkasaan Wanita dan Perlindungan Kanak-Kanak juga akan turut serta dalam siasatan kes berkenaan.










