fbpx

Tidak boleh hanya melihat kepentingan UMNO – Annuar 

ANNUAR Musa melancarkan Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia di Kementerian Komunikasi dan Multimedia MalaysiA, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Apa-apa pendirian yang dibuat UMNO, tidak boleh hanya melihat daripada kepentingan UMNO sahaja,” tegas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berhubung kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. 

Ia susulan sebuah portal semalam melaporkan, Ahmad Zahid memberi gambaran kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) berkemungkinan tidak dapat direalisasikan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya ia diadakan kelak.

Annuar berkata, sebarang pendirian daripada UMNO tidak harus melupakan kepentingan Perdana Menteri, lebih-lebih lagi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob datang dari parti kecil minoriti. 

 “Saya berpandangan, UMNO sekarang sebuah parti sedang memimpin kerajaan diketuai Perdana Menteri. Justeru, apa-apa jua pendirian UMNO tidak harus melupakan betapa pentingnya Perdana Menteri yang memerlukan kerjasama banyak pihak. 

“Hal ini kerana Perdana Menteri datang dari parti kecil minoriti yang hanya 37 kerusi daripada 114 kerusi dan beliau memerlukan sokongan baik daripada banyak pihak,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Pakej Remaja Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Annuar berkata, tidak seharusnya sesuatu PRN atau Pilihan Raya Kecil (PRK) boleh menggugat konsep Keluarga Malaysia dan konsep inklusif dianjurkan Perdana Menteri. 

“Jadi, saya berharap apa-apa pendirian nak dibuat oleh UMNO, tidak boleh hanya melihat kepentingan UMNO sahaja tetapi harus juga melihat kedudukan UMNO iaitu pihak sedang memimpin yang memerlukan kerjasama banyak pihak. 

“Sekiranya kita menolak orang, kita yang kerugian kerana kita memerlukan kerjasama semua. Politik muafakat, politik perbincangan dan politik inklusiviti ini perlu diberi perhatian serius oleh UMNO,” jelasnya. 

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, UMNO harus lebih berhati-hati sebelum membuat sesuatu kenyataan kerana kadangkala ia dikeluarkan sebagai pendapat individu dan boleh membawa kepada masalah pemilihan parti. 

“Dalam parti, elok amalkan budaya berunding supaya kita dapat sesuatu keputusan berasaskan konsultasi serta mengelakkan pandangan peribadi. Kadangkala pandangan peribadi didorong sentimen tertentu yang mungkin merugikan,” katanya. 

Menerusi laporan portal tersebut, Ahmad Zahid pada sebuah program bual bicara bertajuk ‘Jawab, Saya Tanya’ bertajuk ‘PRU15: Membentuk Atau Membina Arus?’ dipetik berkata, “Oleh kerana MN ini tidak pernah didaftarkan, maka saya tidak nampak ada cahaya terang untuk MN itu direalisasikan sebagaimana pilihan raya kecil yang pernah diadakan.

“Biarlah UMNO bertanding dengan panji-panji Barisan Nasional (BN) secara solo dan insya-Allah rakyat memilih parti yang terbaik,” kata Ahmad Zahid. -UTUSAN ONLINE 

 

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI