PUTRAJAYA: Tidak sampai seminggu, sekali lagi mencatatkan rekod tiada mana-mana lokaliti di negara ini bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Malahan, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Dr. Rodzi Md. Saad memaklumkan tiada juga lokaliti yang dilanjutkan tempoh sekatan pergerakan bersasar itu, sebaliknya dua lokaliti di dua negeri ditamatkan PKPD masing-masing secara serentak esok seperti dijadualkan MKN.
Ia meliputi antaranya Kampung Telimau dalam Pos Terisu di Mukim Ulu Telom, Daerah Cameron Highland, Pahang dihuni lebih 200 penduduk dari kalangan Orang Asli etnik Semai.
Turut berakhir PKPD ialah kawasan Kampung Pengkalan Abai, dalam Daerah Kota Belud, Bahagian Pantai Barat, Sabah yang sebahagian besar didiami masyarakat kaum Bajau.
Kali terakhir tiada lokaliti diumumkan PKPD ialah pada 29 September lalu sejak sekatan tegas itu mula diperkenalkan MKN akhir Mac 2020 melibatkan dua lokaliti di Johor iaitu Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid di Simpang Renggam dalam Daerah Kluang ekoran pertambahan kes positif.
Kelazimannya, jangka masa PKPD ialah selama 14 hari iaitu tempoh waktu virus Covid-19 boleh kelihatan pada tubuh pesakit bergejala, namun ada juga lokaliti ditamatkan lebih awal.