Tiada kes positif Covid-19 babitkan banduan di Penjara Reman Pulau Pinang sejak September  - Utusan Malaysia

Tiada kes positif Covid-19 babitkan banduan di Penjara Reman Pulau Pinang sejak September 

MOHD. SUHAIRI Awang (dua dari kiri) menerima sumbangan kuih dan muruku daripada Thanabalan Nanda Kumar (tiga dari kiri) sempena sambutan perayaan Deepavali di perkarangan Penjara Reman Pulau Pinang, Georgetown, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN : Tiada kes positif Covid-19 dicatatkan membabitkan banduan di Penjara Reman Pulau Pinang di sini sejak September lalu. 

Timbalan Pengarahnya, Mohd. Suhairi Awang berkata, jumlah terkini banduan di Penjara Reman Pulau Pinang adalah 2,238 orang dan pihak penjara mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak Covid-19 yang ketat ketika proses keluar masuk banduan untuk ke mahkamah. 

“Banduan di penjara ini juga telah disuntik vaksin jenis Cansino sejak September lalu. 

“Situasi Covid-19 dalam kalangan banduan Penjara Reman Pulau Pinang adalah terkawal yang mana tiada kes positif Covid-19 dicatatkan sejak September lalu,” katanya di pekarangan Penjara Reman Pulau Pinang di sini hari ini. 

Terdahulu, Mohd. Suhairi menerima 2,000 paket kuih dan muruku dari Pengerusi Malaysia Hindudharma Mamandram, Thanabalan Nanda Kumar sempena perayaan Deepavali yang bakal disambut 4 November depan. 

Menurut Mohd. Suhairi, antara langkah lain yang diambil oleh pihak penjara ialah mengasingkan banduan yang mempunyai simptom ke bangunan khas untuk mengelakkan sebarang jangkitan. 

“Dengan langkah-langkah pencegahan sebegini termasuk melengkapkan vaksin bagi banduan, tiada masalah berbangkit jika banduan hadir ke mahkamah. 

“Selain itu, banduan yang baru sahaja dimasukkan ke penjara dan masih belum divaksin akan diasingkan untuk mengelakkan jangkitan sekiranya ada dalam kalangan mereka yang dijangkiti,” katanya. 

Mengulas mengenai program itu pula, Thanabalan berkata, kesemua makanan yang diserahkan akan diagihkan kepada  banduan sempena sambutan Deepavali. 

“Selain Penjara Reman Pulau Pinang, kita turut menyerahkan makanan yang sama kepada pihak Penjara Seberang Perai di Jawi. 

“Sumbangan ini adalah aktiviti tahunan yang kami lakukan sejak 20 tahun lalu setiap kali sambutan Deepavali,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN