TAIPEI: Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen menegaskan negara ini tidak sama sekali akan tunduk terhadap tekanan dari China.
Malah, pemimpin itu berkata, Taiwan akan terus meningkatkan pertahanannya bagi memastikan tiada mana-mana pihak memaksa wilayah tersebut menerima pilihan ditetapkan China yang tidak menawarkan kebebasan mahupun demokrasi.
Berucap sempena sambutan Hari kebangsaan Taiwan, Ing-wen berkata, beliau berharap dapat meredakan ketegangan di Selat Taiwan.
Beliau turut menegaskan wilayah separa autonomi itu tidak akan bertindak ‘terburu-buru’.
“Kami akan terus meningkatkan pertahanan negara dan mempertahankan diri agar tiada pihak yang memaksa Taiwan untuk melalui jalan yang ditetapkan China.
“Ini kerana jalan berkenaan tidak menawarkan cara hidup bebas dan demokrasi serta kedaulatan bagi 23 juta rakyat Taiwan,” katanya.
Taiwan berdepan tekanan ketenteraan dan politik untuk menerima pemerintahan China.
Malah, ketegangan itu semakin meningkat apabila pencerobohan pesawat perang China ke ruang udara Taiwan beberapa kali, yang menjadi perhatian antarabangsa.
Sabtu lalu, Presiden China, Xi Jinping berjanji untuk merealisasikan `penyatuan semula secara damai’ dengan Taiwan. – AFP










