KUALA TERENGGANU: Bilangan pengusaha yang terlibat dalam aktiviti mengorek pasir di satu-satu kawasan di sungai Terengganu dicadangkan dihadkan pada masa hadapan bagi mengelak kejadian paip pecah berulang.
Pengarah Unit Perancang Ekonomi negeri, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, cadangan itu merupakan antara penyelesaian jangka pendek dan panjang yang disyorkan jawatan kuasa khas siasatan susulan krisis air terburuk yang melanda Terengganu pada Ogos lalu.
Beliau yang merupakan pengerusi jawatan kuasa khas itu menjelaskan, hasil laporan siasatan berkenaan sudah dikemukakan dalam majlis mesyuarat kerajaan negeri, bulan lalu.
“Sukar untuk kita menyatakan dengan tepat punca sebenar kejadian paip pecah itu angkara aktiviti mengorek pasir kerana kerosakan yang berlaku agak besar dan banyak faktor-faktor lain yang mempengaruhi perubahan berkenaan berikutan sifat sungai yang dinamik.
“Kita sudah ada garis panduan cuma mungkin perlu diketatkan dalam beberapa aspek misalnya mengehadkan bilangan pengusaha pasir di satu-satu kawasan di samping mengambil kira soal jarak dan sensitiviti sungai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Krisis air terburuk Terengganu membabitkan lebih 150,000 penduduk di sebahagian daerah ini dan Kuala Nerus berlaku sebanyak dua kali iaitu dari 2 hingga 13 Ogos dan 23 Ogos hingga 10 September.
Tun Ahmad Faisal berkata, pihaknya dengan dibantu pelbagai jabatan berkaitan giat merangka garis panduan baharu berkaitan aktiviti pembangunan di kawasan sungai termasuk mengorek pasir dan usaha berkenaan dijangka dapat diselesaikan akhir tahun ini.
“Selain itu, kita juga mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk menjalankan kajian teliti di sepanjang sungai di Terengganu adakah wujud aktiviti mengorek pasir berlebihan atau pembinaan yang menghalang pergerakan semula jadi air serta pasir,” katanya. -UTUSAN ONLINE