Sultan Selangor titah jumlah jemaah solat Jumaat dinaikkan - Utusan Malaysia

Sultan Selangor titah jumlah jemaah solat Jumaat dinaikkan

Sultan Sharafuddin Idris Shah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya jumlah ketetapan jemaah dinaikkan bagi solat Jumaat di semua masjid dan surau-surau (kebenaran) di negeri ini.

Baginda menerusi satu kenyataan bertitah, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini sebagai contoh, boleh menerima kehadiran sehingga 3,500 jemaah berbanding 2,000 orang ketika ini.

“Masjid-masjid daerah dinaikkan kepada antara 700 hingga 1,000 jemaah bergantung kepada jumlah kapasiti masing-masing.

“Masjid-masjid Institusi pula ditambah kepada antara 500 hingga 1,200 jemaah, manakala masjid pengurusan antara 400 hingga 700 orang,” titah baginda.

Titah Sultan Sharafuddin, pertimbangan dan keputusan itu diambil selepas baginda meneliti data terbaharu Covid-19 yang memperlihatkan statistik kematian harian menurun kepada satu digit di Selangor.

“Mengikut statistik sehingga 27 Oktober lalu, jumlah kematian adalah 9,581 orang iaitu separuh daripadanya terdiri daripada orang Melayu beragama Islam. 

Namun, dengan kelonggaran terbaharu ini, jemaah diingatkan mengambil serius dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika beribadat di masjid,” titah baginda.

Pada masa sama, baginda berharap semua rakyat bersama menggalas tanggungjawab mengatasi penularan Covid-19.

“Beta tidak mahu kelalaian dalam mematuhi SOP menjadi punca kes kembali meningkat dan memungkinkan berulang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kita mesti menang dan kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut menegaskan  rakyat tidak mampu lagi berdepan dengan ‘lockdown’ yang ternyata menyusahkan kehidupan seharian rakyat sehingga menjejaskan sumber pendapatan.

“Untuk itu, beta menyeru semua rakyat khususnya umat Islam supaya menunaikan solat dan terus memohon doa ke hadrat Allah S.W.T. Semoga negeri dan negara yang kita kasihi dijauhi daripada wabak penyakit, bala dan malapetaka,” titah baginda.

Bulan lalu, Selangor membenarkan seramai 1,000 jemaah bagi menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sepanjang Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Selain itu, bagi masjid-masjid lain, seramai 500 jemaah ditetapkan bagi menunaikan solat berkenaan secara berjemaah. Bagi surau yang mendapat kebenaran solat Jumaat, seramai 250 jemaah termasuk pentadbir masjid dibenarkan bagi solat Jumaat dan 200 jemaah pula bagi solat lima waktu. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN