Sultan Johor kesal kejadian pengemudi bot khayal dadah - Utusan Malaysia

Sultan Johor kesal kejadian pengemudi bot khayal dadah

SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan kekesalan baginda berhubung kejadian pengemudi bot yang membawa bot secara berbahaya dan sedang berada di bawah pengaruh dadah.

Baginda bertitah kejadian itu berlaku betul-betul di depan mata baginda berdekatan jeti Pulau Rawa.

“Saya lihat mereka bawa bot penumpang dengan laju dan berbahaya.

“Saya arahkan polis menahan bot tersebut yang dalamnya ada membawa satu keluarga dengan anak-anak kecil untuk aktiviti ‘island hopping’,” titah baginda di sini malam ini.

Sementara itu, Sultan Ibrahim turut mengarahkan agar semua agensi penguatkuasaan meningkatkan rondaan dan mengambil tindakan tegas.

“Setelah polis buat penahanan dan siasatan lanjut, jelaslah tindakan mereka memandu bot dengan tidak tentu arah kerana kesan pengaruh dadah.

“Ambillah tindakan tegas termasuk membatalkan lesen dan rampas bot yang tidak mengikut peraturan.

“Perkara seperti ini sangat memalukan industri pelancongan negeri Johor. Saya harap perkara sebegini tidak berulang lagi,” titah baginda.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Cyril Edrward Nuing berkata, dua lelaki yang merupakan tekong bot dan awak-awak ditahan selepas positif dadah jenis meth.

Beliau berkata, tangkapan dilakukan pada pukul 10 pagi selepas polis menahan sebuah bot pelancong berukuran 26 kaki panjang dan enam kaki lebar itu di perairan Mersing berhampiran Pulau Rawa. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN