PETALING JAYA: Kementerian Kewangan meneruskan siri kedua kedua konsultasi Belanjawan 2022 bersama wakil-wakil Pakatan Harapan (PH) bagi memperhalusi cadangan mereka untuk bajet 2022.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perbincangan itu menjurus kepada inisiatif bagi meningkatkan sistem kesihatan awam, memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi serta menghadapi norma baharu pasca Covid-19.
Katanya, sesi libat urus bersama semua pihak sememangnya menjadi teras penyediaan Bajet bagi memastikan suara rakyat didengari demi kesejahteraan #KeluargaMalaysia.
“Petang semalam, saya bersama Timbalan Menteri Kewangan, Mohd. Shahar Abdullah dan team Kementerian Kewangan meneruskan perbincangan lanjut bersama wakil-wakil PH bagi memperhalusi cadangan mereka untuk Bajet 2022,” katanya dalam satu hantaran Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, siri kedua itu membincangkan secara mendalam mengenai suntikan fiskal langsung RM45 billion ke dalam ekonomi untuk menyelamatkan perniagaan, terutamanya PKS, pendapatan yang terjejas dan kemelesetan ekonomi yang semakin buruk.
Katanya, tambahan dana langsung itu adalah salah satu klausa utama Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan PH.
“PH bertekad bahawa rakyat akan mendapat manfaat secara langsung daripada pelaksanaan MOU terutamanya Pelan Reset Covid-19 Nasional untuk memenangi pertempuran melawan Covid-19.
“Termasuk Pelan Pemulihan Ekonomi RM45 bilion disertai dengan pengecualian pembayaran faedah selama tiga bulan selama moratorium pinjaman bank untuk 50 peratus penduduk Malaysia yang terbawah,” katanya.
“Pemimpin PH perlu menjelaskan kepada rakyat bahawa manfaat ini adalah bahagian penting dalam MOU daripada PH untuk menyelamatkan nyawa dan mata pencarian, yang sebelum ini ditolak oleh kerajaan tetapi kini diterima sebagai sebahagian daripada dasar kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE