Semakin banyak negara mansuhkan hukuman mati - Utusan Malaysia

Semakin banyak negara mansuhkan hukuman mati

SUNTIKAN maut merupakan antara hukuman mati yang dilaksanakan di sejumlah negara di seluruh dunia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Sehingga kini, kira-kira 50 buah negara di seluruh dunia masih melaksanakan hukuman mati terhadap pesalah yang disabit kesalahan.

Sierra Leone menjadi negara terbaharu yang memansuhkan hukuman mati, selain Kazakhstan dan Malawi turut mengambil langkah sama pada tahun ini.

Hukuman mati dijalankan pelbagai cara mengikut perundangan setiap negara.

Antaranya termasuk gantung hingga mati, renjatan elektrik, tembakan dan suntikan maut.

 

HAPUS HUKUMAN MATI

Lebih 100 negara secara rasmi sudah menggugurkan hukuman mati terhadap semua jenayah.

Separuh daripada negara itu melibatkan Eropah dan Asia Tengah.

Kira-kira 144 negara menghapuskan hukuman itu sama ada menerusi perundangan mahupun pelaksanaan.

 

AMERIKA SYARIKAT

Virginia menjadi negeri ke-23 AS yang memansuhkan hukuman mati pada Mac 2020.

Tiga negeri AS lain iaitu California, Oregon dan Pennsylvania mempunyai ‘moratorium hukuman mati’ yang bermaksud, hukuman tidak perlu dilaksanakan walaupun masih kekal dalam sistem perundangan.

 

AFRIKA

Lebih 30 negara Afrika masih melaksanakan hukuman mati berdasarkan piagam perundangan, namun kurang daripada separuh kesemua negara itu melaksanakan hukuman mati sejak beberapa tahun ini.

Pada 2020, tiada hukuman mati direkodkan di Bahrain, Belarus, Jepun, Pakistan dan Sudan.

 

483 HUKUMAN MATI 2020

Menurut Amnesty International, sekurang-kurangnya 483 hukuman mati dilaksanakan di 18 negara pada tahun lalu.

Angka itu menunjukkan penurunan sebanyak 26 peratus berbanding 2019 iaitu 657 hukuman mati dilakukan.

Bagaimanapun, jumlah itu tidak termasuk ‘ribuan hukuman mati’ yang dipercayai dilaksanakan di China, Korea Utara dan Vietnam.

Sebanyak 88 peratus kebanyakan hukuman mati yang dilaporkan dijalankan di empat negara iaitu Iran (246), Mesir (107), Iraq (45) dan Arab Saudi (27).

Arab Saudi dan Iraq menjadi dua negara paling banyak merekodkan penurunan dalam pelaksanaan hukuman mati dengan Riyadh mencatatkan pengurangan sebanyak 85 peratus dan Baghdad lebih separuh daripada kebiasaan.

Penurunan hukuman mati di Arab Saudi mungkin disebabkan oleh pemberian moratorium hukuman terhadap pesalah dadah.

Pada 2019, negara itu melaksanakan kira-kira 184 hukuman mati.

 

TIGA KALI GANDA DI MESIR

Selepas merekodkan penurunan hukuman mati selama beberapa tahun, India, Oman dan Qatar kembali meneruskan hukuman tersebut.

Di sub-Sahara Afrika, hukuman mati turun 36 peratus, iaitu menurun dari 25 pada 2019 kepada 16 pada tahun lalu.

Namun, hukuman mati di Mesir dilaporkan meningkat tiga kali ganda dengan kemuncaknya pada 2013 iaitu sebanyak 109.

 

HUKUMAN MATI

Berdasarkan laporan Amnesty, sekurang-kurangnya 1,477 hukuman mati dilaksanakan di 54 negara pada 2020 dan menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya.

Pada 2019, sebanyak 2,307 hukuman mati dijalankan di 56 negara dan penurunan itu dikaitkan dengan pandemik Covid-19 di seluruh dunia. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN