SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menyasarkan penurunan kadar realistik pengangguran negeri berada di bawah empat peratus pada tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Belia dan Sukan dan Insan negeri, Mohd. Khairuddin Othman berkata, sasaran itu ditetapkan berikutan sebanyak 4.4 peratus atau 165,000 penganggur dicatatkan setakat ini.
“Statistik itu sememangnya menunjukkan sedikit penurunan berbanding 4.5 peratus tahun pada lalu.
“Namun, kita mahu kadar pengangguran di Selangor berada di paras lebih rendah iaitu bawah empat peratus seperti yang dicatatkan pada 2019,” katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas melancarkan program Jelajah Selangor Bekerja 2021 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Datuk Hasan Azhari Idris dan Timbalan Pengarah Bahagian Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, Ahmad Zaki Yusof.
Jelas Mohd. Khairuddin, kadar pengangguran yang direkodkan itu nyata akibat faktor pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Industri yang terjejas antaranya teknologi maklumat, pembinaan, perkhidmatan, profesional dan teknikal.
“Kita bagaimanapun optimis mampu mencapai sasaran sekurang-kurangnya 3.7 peratus penurunan kadar itu tahun depan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Jelajah Selangor Bekerja 2021 menawarkan sebanyak 25,000 peluang pekerjaan daripada hampir 200 syarikat di negeri ini.
“Selain industri perkhidmatan, pembuatan, elektronik dan pengurusan, program itu memberi penumpuan kepada industri aeroangkasa dengan kerjasama Invest Selangor.
“Program bermula 23 Oktober hingga Disember depan itu melibatkan enam siri jelajah di Shah Alam, Kuala Selangor, Kuala Kubu Bharu, Hulu Langat dan Petaling,” katanya.
Tambah beliau, program itu akan diadakan secara hibrid dan fizikal selain mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Orang ramai terutama belia yang ingin mencari peluang pekerjaan boleh mendapatkan maklumat lanjut dan membuat pendaftaran menerusi ww.selangorbekerja.com.my.- UTUSAN ONLINE










