Satelit SES mula cabar Measat untuk liputan siaran TV berbayar DTH - Utusan Malaysia

Satelit SES mula cabar Measat untuk liputan siaran TV berbayar DTH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Siaran televisyen berbayar terkenal tempatan menerusi satelit Measat kini mula ada pesaing setara apabila dicabar pemain baharu yang dikenali SES dan jauh lebih canggih.

 Ia susulan pelancaran penyiaran sistem Direct-to-Home (DTH) kedua di negara ini, Sirius TV sejak 1 Oktober lalu dengan permulaan 13 saluran televisyen untuk liputan di seluruh Malaysia.

 Menurut kenyataan akhbar, firma telekomunikasi global berpusat di Betzdorf, Luxembourg itu, ia berpuas hati dengan kualiti siaran yang dipancarkan menerusi satelit terbaharunya, SES-12.

 Lima daripada saluran itu dipancarkan secara definisi tinggi (HD) manakala selebihnya definisi standard (SD) yang kemudian akan ditambah secara berperingkat untuk kepuasan pelanggan.

 SES yang ditubuhkan sejak 1985 memaklumkan, satelit itu diletakkan pada kedudukan 95 darjah timur iaitu hampir dengan lokasi asal Measat 3 yang kini telah hanyut ‘berkubur’ di angkasa.

 Syarikat Eropah tersebut menyatakan, SES-12 antara lebih 70 satelit telekomunikasi miliknya yang beroperasi di ruang angkasa seluruh dunia dan juga berfungsi untuk penyiaran televisyen.

 Satelit itu dilancarkan ke orbit pada 4 Jun 2018 lalu yang dikeluarkan Airbus Defence and Space untuk liputan khusus di rantau Asia Pasifik dan Asia Selatan bagi menggantikan satelit NSS-6.

 Dengan yuran tahunan bermula hanya serendah RM299 dan percuma langganan bagi tahun berikutnya, Sirius TV dijangka memberi saingan sengit kepada Astro yang sudah berusia 25 tahun.

 Ia bahkan terjejas akibat anomali luar biasa dialami satelit Measat-3 yang usang menyebabkan siaran DTH pertama di negara ini terputus tanpa dijangka selama tiga hari bermula 21 Jun lalu.

 Measat kemudian terpaksa melakukan migrasi isyarat kepada lima satelit yang berhampiran, sementara menanti Measat-3d dapat dilancar ke angkasa hanya pada suku kedua tahun depan.

 Masalah itu ternyata mengecewakan jutaan pelanggannya dan ada dilaporkan beralih kepada siaran digital terrestrial percuma MYTV kerana ia jauh lebih stabil walaupun ketika cuaca buruk.

 Perkhidmatan ini sudah menawarkan 18 saluran televisyen menerusi antena dan alat dekoder MyFreeview sekali gus memanfaatkan 6.2 juta isi rumah dalam kalangan berpendapatan B40.

 Bagaimanapun bagi berkemampuan, mereka akan melanggan siaran kabel Unifi TV yang menyediakan 25 saluran untuk pek percuma dan pakej tambahan 45 lagi saluran dengan caj khas.

 Cabaran itu menyaksikan Astro melancarkan produk dikenali sebagai Ultra Plug & Play Box yang membolehkan perkhidmatan penyiaran tanpa perlu ada lagi pemasangan piring parabola. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya