Sabah buat persediaan awal hadapi banjir - Utusan Malaysia

Sabah buat persediaan awal hadapi banjir

SHAHELMEY Yahya (empat kanan) bersama rombongan kementerian melawat Depoh Simpangan Barang Bencana di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri membuat persediaan awal untuk berhadapan dengan musim banjir dengan memastikan bekalan barangan yang diperlukan bagi menghadapi bencana alam tersebut mencukupi.

Langkah ini susulan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia yang menjangka hujan lebat berterusan akan berlaku pada hujung tahun ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, penghantaran barangan persediaan banjir ke daerah-daerah yang sering dilanda banjir sedang giat dijalankan.

“Seperti yang diramalkan oleh Meteorologi, kita sedang mengalami peralihan monsun dan kejadian hujan lebat dan ribut dijangka berlaku dalam bulan November dan Disember ini.

“Maka, kita sedang giat melakukan penghantaran barang-barang persediaan untuk menghadapi bencana banjir seperti tilam, bantal dan beberapa barang keperluan lain ke daerah-daerah yang sering mengalami banjir,” katanya semasa melawat Depoh Simpanan Barang Bencana hari ini.

Lawatan itu diadakan selepas perasmian Hari Integriti Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dumpil ini turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan peka dengan keadaan cuaca semasa musim hujan ini.

“Bagi mereka yang tinggal di kawasan cerun dan perkampungan atas air, mereka perlu sentiasa peka dengan perubahan cuaca supaya tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Shahelmey turut mengingatkan penjawat awam agar sentiasa berintegriti dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Penjawat awam perlu mengelakkan diri dari terlibat dalam salah guna kuasa dan mengamalkan budaya kerja yang berintegriti untuk dijadikan amalam harian.

“Jika budaya kerja tidak berintegriti menjadi amalan, ia akan merebak sebagai satu barah yang akan menjejaskan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

“Maka, cara kerja berintegriti sebagai budaya kerja harian dan bukan sekadar sambutan tahunan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN