Rumah Idaman: Lima kawasan disasar bina rumah mampu milik - Utusan Malaysia

Rumah Idaman: Lima kawasan disasar bina rumah mampu milik

AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor mewujudkan projek Rumah Idaman yang berkonsepkan rumah mampu milik di lima kawasan di negeri ini yang akan dipasarkan pada harga RM250,000 bagi setiap unit.

Projek itu diumumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang memberitahu, lima kawasan tersebut adalah Bandar Saujana Putra, Shah Alam 2, Puchong, Cybersouth dan Alam Perdana.

“Rumah Idaman tersebut akan dibina oleh pihak pemaju, MGB Bhd. dan LBS Bina Sdn.Bhd. bermula November 2021 dan bakal disiapkan pada penghujung 2024.

“Projek tersebut akan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang merupakan teknologi binaan mesra alam,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Projek Rumah Idaman menerusi platform media sosial Facebook dan media rasmi Kerajaan Negeri Selangor hari ini.

Amirudin berkata, pembinaan projek tersebut dibangunkan dengan teknologi IBS bagi memastikan kos pembinaan daripada aspek buruh dapat diminimumkan bagi memastikan Rumah Idaman itu mampu dimiliki.

Katanya lagi, selain itu projek tersebut turut dibina di kawasan yang mempunyai kemudahan seperti hospital, sekolah, universiti dan pengangkutan awam.

“Kita juga memastikan Rumah Idaman boleh diakses menerusi sistem jaringan lebuh raya di seluruh negeri ini.

“Apa yang pasti, pihak kerajaan negeri komited untuk memastikan rakyat negeri ini dan warga Malaysia yang tinggal dan bekerja di sini akan memiliki rumah mereka sendiri,”katanya.

Rumah Idaman tersebut berkeluasan 1,000 kaki persegi, tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua parkir kereta.

Selain itu rumah tersebut akan dilengkapi dengan kabinet tv, kabinet dapur, penyaman udara, pemanas air dan lain-lain. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN