PADANG BESAR : Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) meminta lebih 600 pekebun kecil di negeri ini segera mengemaskini maklumat mereka bagi membolehkan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) dapat disalurkan.
Pengerusi Jawatan kuasa Kemajuan Luar Bandar negeri, Asmaiza Ahmad berkata, Risda Perlis menyasarkan seramai 1,427 pekebun dan penoreh getah menerima bantuan BMT pada tahun ini.
“Sehingga 25 Oktober lalu, hanya 817 golongan tersebut mengemaskini dan membuat pengesahan maklumat melibatkan nombor telefon dan akaun terkini.
“Manakala baki seramai 610 pekebun kecil masih belum membuat kemas kini. Saya harap semua pekebun kecil segera membuat kemas kini dan pengesahan maklumat sebelum 15 November ini,” katanya ketika ditemui selepas program Pekebun Kecil Makmur di sini hari ini.
Tambahnya, kerajaan meluluskan pemberian BMT tahun 2021 sebanyak RM600 setiap seorang dengan peruntukan sebanyak RM191 juta kepada pekebun kecil seluruh negara.
Katanya, BMT dijangka disalurkan secara dua peringkat iaitu RM300 pada bulan November manakala bakinya pada Disember.
Ujarnya, proses kemas kini juga boleh dilakukan secara dalam talian menerusi pautan bmt.risda.gov.my.
“Bermula Januari hingga Oktober tahun ini, Risda Perlis menerima peruntukan sebanyak RM4.92 juta dalam empat bidang utama iaitu tanam semula dan bekalan (RM4 juta); produktiviti,pemasaran dan program khas (RM575,000); pembangunan usahawan (RM260,000) dan pengembangan serta pemindahan teknologi (RM82,590).
“Melalui Model Perancangan Strategik Risda (MPSR) 2021-2025, objektif agensi ini sangat jelas iaitu pekebun kecil memperolehi pendapatan kolektif RM4,500 sebulan menjelang akhir tahun 2025.
“Menerusi MPSR, pendapatan RM4,500 itu diperolehi melalui hasil getah (RM1,500), keusahawanan (RM2,500) dan hasil baharu (RM500),” katanya. -UTUSAN ONLINE