PETALING JAYA: Keputusan untuk menasihatkan Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzudin Shah sama ada mengisytiharkan darurat atau meneruskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diketahui minggu hadapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bagi memberi ruang kepada Sultan Nazrin mendapat taklimat berhubung isu berkenaan.
Katanya, setakat ini Kabinet telah mengadakan mesyuarat dan berbincang berkenaan situasi di negeri tersebut, namun tiada keputusan dimuktamadkan.
“Tadi kita mengadakan mesyuarat Kabinet dan bincang situasi di Melaka (tapi) kita belum buat sebarang keputusan. Saya difahamkan Pemangku Yang di-Pertuan Agong akan mendapat taklimat daripada Peguam Negara, Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Jadi kita tunggu selepas taklimat kepada Pemangku Yang di-Pertuan Agong dan Kabinet buat keputusan minggu depan,” katanya. kepada pemberita selepas menghadiri majlis Pra Pelancaran Keluarga Malaysia di Auditorium Perdana, Angkasapuri hari ini.
Kerajaan Melaka pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali tumbang selepas hilang sokongan majorit apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan penarikan sokongan mereka.
UMNO dalam masa yang sama tidak menolak kemungkinan akan mengesyorkan Ismail Sabri agar menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan darurat bagi menghalang PRN Melaka. – UTUSAN ONLINE
Habis.