PETALING JAYA : Perikatan Nasional (PN) membuat berpendirian untuk tidak menyokong sebarang cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menambah satu lagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Majlis Tertinggi PN telah membuat pendirian bahawa tiada keperluan untuk mewujudkan satu lagi jawatan itu pada masa ini.
Katanya, kewujudan dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sepertimana termaktub dalam Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan adalah memadai bagi tujuan menjamin kelicinan perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat.
“Selain itu, peruntukan Perkara 57 (3) Perlembagaan yang membenarkan mana-mana ahli Dewan Rakyat mempengerusikan mesyuarat pada masa ketiadaaan Yang Dipertua dan Timbalan-Timbalan juga adalah memadai bagi tujuan menjamin kesempurnaan perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat.
“Justeru, tiada keperluan bagi Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menambah satu lagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada masa ini. Cadangan pindaan ini memerlukan sokongan majoriti dua pertiga ahli-ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mencadangan agar mewujudkan seorang lagi Timbalan Yang Dipertua dan menjadikannya tiga orang.
Cadangan dikemukakan beliau sebagai antara langkah transformasi Parlimen sekiranya dipilih menjawat Timbalan Dipertua Dewan Rakyat ketika pemilihan jawatan itu sebelum ini.
Muhyiddin menambah, PN berpendirian bahawa persefahaman antara kerajaan dan pembangkang di Parlimen adalah terhad kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui dan termaktub jelas dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pimpinan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September lalu.
Jelasnya, pindaan Perlembagaan untuk menambah jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak termaktub dalam memorandum tersebut.
“Justeru adalah tidak wajar mana-mana pihak untuk menuntut pelaksanaanya,” kata Muhyiddin. -UTUSAN ONLINE