Pihak ketiga tidak diperlukan siasat insiden selepas vaksinasi - Utusan Malaysia

Pihak ketiga tidak diperlukan siasat insiden selepas vaksinasi

NOOR AZMI Ghazali bercakap kepada pemberita selepas menyantuni keluarga remaja yang yang rebah selepas divaksinasi di Kampung Bukit Duyong, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tiada keperluan penglibatan pihak ketiga untuk menyiasat insiden membabitkan pemberian vaksin kepada rakyat negara ini.

 

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan bertindak pantas dalam menyiasat kes-kes berkaitan kesan vaksinasi sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) remaja bermula bulan lalu.

 

Menurut beliau, jika berlaku sesuatu di pusat pemberian vaksin (PPV) seperti kesesakan luar biasa dan insiden pengsan selepas divaksin, tindakan segera adalah menghubungi pejabat kesihatan daerah (PKD) dan PPV yang terlibat bagi memastikan semuanya berjalan dengan lancar.

 

“Siapa hendak siasat kalau bukan Kementerian Kesihatan? Setakat ini, tiada masalah. 

 

“Siasatan kami adalah telus dan jujur kerana ini adalah tanggungjawab kita,” katanya kepada pemberita selepas melawat pelajar yang pengsan selepas divaksinasi di sini hari ini.

 

Terdahulu, tular dalam media sosial berkenaan video seorang remaja rebah selepas menerima suntikan dos pertama di PPV Encore, Klebang di sini, semalam. 

 

Siasatan lanjut mendapati, perasaan gemuruh dan tidur lewat menjadi punca kepada kejadian melibatkan dua individu iaitu remaja berusia 13 tahun dan kanan-kanak (12 tahun).

 

Mengulas lanjut, Noor Azmi berkata, apa yang berlaku bukanlah disebabkan kesan vaksin dan meminta ibu bapa bertenang serta tidak bimbang.

 

Jelasnya, pihaknya sudah menghubungi doktor dan PPV terlibat, seterusnya mendapati tiada masalah semasa proses pemberian vaksin.

 

“Saya menasihati para ibu bapa untuk main peranan agar anak-anak bersedia untuk menerima vaksin. Pastikan mereka bersarapan, tidur awal dan jangan lakukan aktiviti lasak selepas divaksin,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN