GURUN: Seorang pesakit kanser fibromatosis yang terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak tetap cekal berniaga burger di Kampung Sungai Rotan, Guar Chempedak di sini.
Norliza Husain, 41, berniaga burger di kedai miliknya dikenali sebagai ‘Chintaa Akmalnyza’ yang terletak di dalam sebuah kebun getah di kampung tersebut.
Menurutnya, dia terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak selepas sebahagian tulang betis kaki kanannya diambil bagi menggantikan tulang betis kaki kirinya yang reput.
“Saya juga telah menjalani pembedahan tulang kaki sebanyak enam kali sejak tahun 2017,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Norliza memberitahu, dia tetap berusaha memajukan diri walaupun mengalami masalah tulang reput untuk mencari pendapatan menyara keluarga.
Ibu kepada seorang anak perempuan berumur 21 tahun berkata, suaminya, Mat Zaini Johari,41, dan seorang anak saudara turut membantunya menjalankan perniagaan burger tersebut.
Selain itu, tambahnya, dia juga menerima tempahan makanan ala carte daripada pelanggannya.
“Saya sentiasa berfikiran positif untuk memajukan diri dan tidak pernah menjadikan masalah kesihatan dialami sebagai penghalang untuk berdikari mencari rezeki,” ujarnya.
Norliza memberitahu, dia menggunakan media sosial untuk mempromosi burger dan makanan lain yang dijual di kedainya.
Selain itu, tambahnya, perniagaan yang dijalankan menggunakan pendekatan memberi sumbangan dan pihaknya pula menyalurkan kepada mereka yang memerlukan.
“Sumbangan orang ramai yang diterima itu saya gunakan untuk menyediakan burger atau masakan lain bagi disedekahkan kepada keluarga miskin, pusat pengajian agama dan orang perseorangan.
Orang ramai yang ingin memberi sumbangan kepada Norliza boleh menghubunginya di talian 017-5202434 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank miliknya bernombor 102055018475. -UTUSAN ONLINE