Peruntukan RM10 juta laksana Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan - Utusan Malaysia

Peruntukan RM10 juta laksana Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kiri) melakukan gimik pelancaran Hari Sukan Negara 2021 di Menara KBS, Putrajaya. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan melancarkan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan iaitu satu dokumen  komprehensif menggariskan objektif, strategi dan inisiatif terancang ke arah memperkasakan penglibatan dan penyertaan wanita dalam pelbagai bidang sukan dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelan tindakan itu yang mengandungi lima teras, lapan objektif, 19 strategi dan 45 inisiatif itu bermatlamat ke arah menjadikan pembangunan sukan negara lebih inklusif dan seimbang selaras dengan Dasar Sukan Negara dan Akta Pembangunan Sukan 1997.

 

Kata beliau, langkah ini juga selari dengan dasar dan perundangan di peringkat antarabangsa seperti Olympic Charter, Olympic Agenda 2020, Kazan Action Plan dan The Convention on the Elimination of all Forms of Discrimination Against Women (atau CEDAW). 

 

“Sebuah Jawatankuasa Wanita Dalam Sukan ditubuhkan bagi merancang  dan memantau pelaksanaan pelan tindakan ini yang dianggotai 15 orang pakar rujuk terdiri daripada wakil kementerian, badan sukan, bekas atlet dan individu berpengalaman.

 

“Pelan ini disasarkan mampu meningkatkan penglibatan keseluruhan wanita dalam aktiviti sukan, kepimpinan dalam badan sukan dan penyertaan dalam kejurulatihan dan kepegawaian sukan,” katanya ketika berucap melancarkan Hari Sukan Negara 2021, hari ini.

 

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut melancarkan Program Talent Identification and  Development, MyTID KPM-KBS bagi pembangunan bakat-bakat sukan demi melahirkan juara di temasya sukan antarabangsa.

 

Menurut beliau, program kerjasama di antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan  Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu dianggarkan melibatkan seramai 500 guru tenaga penguji terlatih, dikenali Talent Eagle serta sasaran penyertaan seramai 60,000 murid dari sekolah rendah (Tahun 1 hingga 6) melibatkan semua pejabat pendidikan daerah mengikut  zon.  

 

Perdana Menteri berkata, program ini dijangka membantu memperluaskan penyertaan bakat-bakat baharu (talent pool) seawal usia 7 tahun yang berpotensi di peringkat akar umbi untuk dikenal pasti lebih awal dan mengurangkan risiko keciciran  bakat. 

 

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, KBS juga sedang menggubal sebuah Pelan Tindakan Industri Sukan Negara bersifat komprehensif dan kompetitif bertujuan menjadikan sukan sebagai sumber baharu dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara, seiring perkembangan di peringkat global.   

 

Katanya, pelan itu amat wajar dibentuk setelah mengambil kira analisis berasaskan data ekonomi dunia yang menunjukkan nilai pasaran global sukan mencecah hampir AS$388.3 bilion pada tahun lalu dan dijangka terus positif berkembang dan mencecah AS$599 bilion pada tahun 2025. 

 

“Data yang diperoleh daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri  pada tahun 2020 pula menunjukkan seramai 32.7 juta rakyat Malaysia membelanjakan RM430 juta bagi tujuan sukan dan riadah.  

 

“Secara keseluruhan, Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan,  Program MyTID KPM-KBS dan Pelan  Tindakan Industri Sukan Negara merupakan sebahagian daripada hala tuju perancangan dan pembangunan sukan yang sedang dibentuk KBS melalui Visi Sukan Negara  2030,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.