Penganggur ditahan bersama 10 plastik heroin  - Utusan Malaysia

Penganggur ditahan bersama 10 plastik heroin 

NOORZAINY Mohd. Noor menunjukkan dadah yang dirampas daripada seorang lelaki yang ditahan ketika operasi Selasa lalu dalam sidang akhbar di IPD SPU Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Polis berjaya membongkar sindiket pengedaran dadah selepas menahan seorang penganggur lelaki yang membawa kira-kira 4.5 kilogram dadah jenis heroin di dalam sebuah kereta di Kepala Batas, dekat sini Selasa lalu. 

 

Menerusi serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari itu, dadah tersebut dijumpai di bahagian but kereta jenis Proton Wira yang dinaiki suspek. 

 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, dadah tersebut dibungkus di dalam 10 plastik lutsinar yang kemudiannya diletakkan di dalam satu bungkusan plastik kurier bagi mengaburi mata pihak berkuasa. 

 

Ujarnya, ketika ditahan suspek berusia 30 tahun itu dipercayai sedang dalam proses menghantar bekalan dadah tersebut yang dianggarkan bernilai kira-kira RM60,300. 

 

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati sindiket itu dipercayai aktif mengedar dadah sejak kira-kira dua bulan lalu. 

 

“Suspek dipercayai baru berjinak-jinak dalam kegiatan tersebut memandangkan dia tiada rekod lampau berkaitan dadah dan hanya memiliki satu rekod jenayah berkaitan kes melarikan orang. 

 

“Kita juga dalam usaha mengesan saki-baki ahli sindiket atau rakan-rakan suspek yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU di Kepala Batas di sini hari ini. 

 

Beliau berkata, suspek direman selama enam hari sehingga Isnin depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE  

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN