LANGKAWI: Penduduk yang tinggal di sempadan antara negeri ini dan Perlis diingatkan supaya tidak merentas negeri selagi tidak dibenarkan oleh kerajaan.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, penduduk di negeri ini yang sering merentas negeri secara haram perlu menghentikan segera tindakan tersebut untuk mengekang penularan Covid-19 di kedua-dua negeri itu.
Menurutnya, penduduk Kedah yang mempunyai rumah di kawasan sempadan di antara negeri Kedah dan Perlis seperti di Sanglang turut diminta mematuhi arahan kerajaan tersebut.
“Saya harap kalau benar, orang Kedah yang merentas negeri pergi ke Perlis, saya harap mereka tak pergi lagilah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Sukan Negara 2021 peringkat negeri Kedah di Dataran Pantai Chenang di sini hari ini.
Terdahulu, akhbar melaporkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan kes Covid-19 yang tinggi di Perlis ketika ini adalah disebabkan oleh rentas negeri secara haram.
Jelasnya, aktiviti tersebut dipercayai dilakukan oleh penduduk tempatan dari Kedah yang masuk ke situ melalui jalan tikus bagi mengelakkan sekatan jalan raya.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, kerajaan akan mengumumkan kebenaran aktiviti merentas negeri secara serentak di seluruh negara dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, Sanusi memberitahu, setakat ini, beliau masih belum menerima laporan mengenai penduduk di negeri yang merentas negeri ke Perlis.
Pada masa sama, menurutnya, penduduk di negeri Perlis juga diminta tidak masuk ke negeri ini secara haram pada waktu ini. -UTUSAN ONLINE