Pelancong ke Pangkor makin bertambah - Utusan Malaysia

Pelancong ke Pangkor makin bertambah

PENUMPANG beratur untuk pemeriksaan tiket dan aplikasi MySejahtera sebelum menaiki feri ke Pulau Pangkor dari Jeti Lumut hari ini. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Jumlah pengunjung ke Pulau Pangkor mencatatkan peningkatan ketara terutama selepas kerajaan mengumumkan kebenaran merentas negeri mulai Isnin.

Tinjauan Utusan Malaysia di Jeti Feri Lumut serta Jeti Feri Marina Island di sini mendapati jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmat itu untuk bercuti ke pulau bebas cukai itu semakin bertambah.

Menurut seorang pekerja di Jeti Feri Lumut yang hanya mahu dikenali Suhaila, perkhidmatan feri ke Pulau Pangkor pukul jam 12.45 tengah hari semalam penuh iaitu seramai 195 penumpang.

Katanya, disebabkan itu, pihak pengurusan menambah sebuah lagi feri yang bergerak daripada jeti berkenaan pada pukul 1.15 petang semalam.

“Itu perkara biasa apabila feri penuh, kami akan tambah feri tetapi keadaan ini sudah lama tidak berlaku disebabkan tidak ramai pengunjung yang datang ketika larangan merentas daerah dan negeri.

“Kami mula menerima pengunjung apabila kerajaan membenarkan rentas daerah dan saya jangka apabila sudah boleh rentas negeri, ramai lagi yang akan datang ke pulau ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, perkhidmatan feri dari Jeti Lumut ke Pulau Pangkor juga ditambah daripada tiga perjalanan sehari kepada enam perjalanan bermula hari ini.

Katanya, sebelum ini pihaknya menyediakan tiga waktu perjalanan dari Jeti Lumut ke Pulau Pangkor dalam sehari.

“Tetapi mulai hari ini perkhidmatan feri akan ditambah kepada enam perjalanan setiap hari memandangkan penumpang mula bertambah.

“Tiga perjalanan itu ialah pada pagi pukul 7.15, 9.30, dan 12.45 tengah hari manakala pada petang pula pada pukul 3.30, 5.00 dan 6.30,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Marina Sanctuary Resort Sdn. Bhd., Ding Mei Looi berkata, pihaknya menjangkakan 1,000 pengunjung akan menaiki feri dari Jeti Marina Island, di Teluk Muroh pada Sabtu ini.

Katanya, Jeti Marina Island mula menerima pengunjung sejak kebenaran rentas daerah.

“Sabtu lalu, hampir 600 penumpang menaiki feri dari Marina Island ke Pulau Pangkor dan saya jangka Sabtu ini meningkat hingga 1,000 penumpang dari jeti di sini.

“Selepas rentas negeri dibenarkan mulai Isnin, 400 penumpang menaiki feri dari Marina Island dan semalam seramai 530 orang,” katanya.

Menurut Mei Looi, sama seperti Jeti Lumut, Jeti Marina Island juga akan menambah kekerapan perjalanan feri daripada tiga kali sehari kepada enam kali.

Katanya, jadual ditetapkan ialah 7.15 dan 10.15 pagi manakala petang pada pukul 1.15, 3.15, 6.15 dan 7.15 petang.

“Saya menasihati orang ramai membeli tiket feri secara atas talian bagi mengelakkan kesesakan di kaunter,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.