LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan yang mencurigakan di kedudukan 0.4 batu nautika timur Pulau Pangkor pagi semalam.
Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, menyedari kehadiran penguat kuasa pada pukul 10.15 pagi, seorang kru dipercayai warga asing berusaha menyembunyikan diri di bilik kemudi bot tersebut sebelum digeledah oleh pasukan penguat kuasa Maritim.
“Pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan empat kru warga tempatan serta seorang kru warga asing dipercayai warga Indonesia berumur 45 tahun tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan boleh didakwa di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut Shahrizan, bot serta kru tersebut dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Bharu, Sitiawan, bagi siasatan serta tindakan selanjutnya. – UTUSAN ONLINE










