BEIJING: China dilaporkan enggan memberi akses kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menjalankan siasatan di gua dan ladang berhampiran Wuhan.
Lokasi berkenaan mungkin memberi petunjuk baharu kepada pasukan penyiasat WHO merungkai asal usul pandemik Covid-19 yang masih menjadi tanda tanya.
Lapor Daily Mail, para saintis mahu mengunjungi beberapa gua dan kawasan ternakan haiwan liar di Enshi, wilayah Hubei, kira-kira enam jam di barat bandar yang mana kes Covid-19 pertama dilaporkan.
Berdasarkan laporan Washington Post, ladang-ladang di wilayah tersebut diketahui menempatkan ribuan haiwan liar yang dijual di pasar basah.
Hal itu menyebabkan wujudnya teori bahawa haiwan ternakan bertindak sebagai perantara virus antara kelawar dan manusia.
Namun, pegawai China enggan memberi akses kepada WHO untuk menjalankan penyelidikan mereka.
Sebelum ini, Beijing menafikan dakwaan Covid-19 muncul pertama kali di pasar basah China mahupun berlaku kebocoran di makmal Wuhan.
China menyatakan virus itu mungkin berasal dari tempat lain.
Ladang itu menjadi perhatian selepas laporan menyatakan beberapa pasar basah yang menjual haiwan dari ladang berkenaan, dilarang daripada menjual haiwan liar hidup pada Disember 2019.
Pengumuman itu dibuat beberapa hari sebelum kerajaan China mengakui virus baharu dikesan di sebuah pasar Wuhan.
Media tempatan China melaporkan enam pasar basah di Enshi ditutup pada Mac 2020 sebelum seluruh dunia melaksanakan perintah berkurung akibat pandemik Covid-19.
Seorang sumber rantaian bekalan memberitahu The Post, beberapa haiwan liar yang dijual di Wuhan dibawa dari wilayah Hubei termasuk Enshi.
Dilaporkan, beberapa ladang haiwan liar terletak kira-kira 1.6 kilometer (km) dari laluan masuk ke gua kelawar di Enshi.
Seorang jurucakap Kedutaan Besar China di Washington tidak dapat mengesahkan sama ada kelawar atau haiwan liar yang diternak di ladang di Enshi pernah diuji untuk virus berkenaan. – AGENSI