PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah pasukan petugas khas siasatan bagi membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan seterusnya diambil terhadap dakwaan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas di dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness”.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan petugas itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara yang akan dilantik dalam masa terdekat.
Beliau berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) pula bertindak sebagai urusetia.
“Pasukan petugas khas siasatan yang dicadangkan ini antara lain bertujuan menyiasat dakwaan Tommy Thomas mengenai penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah kerahsiaan,” katanya dalam kenyataan hari ini berhubung keputusan mesyuarat Jemaah Menteri semalam.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Jemaah Menteri juga bersetuju agar pasukan petugas khas diwujudkan bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen bersesuaian berhubung semakan semula undang-undang berkenaan kes Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh.
Beliau berkata, ini termasuk mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.
Perdana Menteri berkata, pasukan petugas khas ini akan dipengerusikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
“Pada masa sama, Jemaah Menteri juga membuat keputusan untuk mendapatkan pandangan undang-undang awal berkenaan tindakan undang-undang di bawah “Tort of Misfeasance” ke atas mana-mana pihak yang didapati telah melakukan kecuaian dan kekhilafan ekoran tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh,” katanya.
Perdana Menteri menjelaskan, kedua-dua jawatankuasa yang dipersetujui Jemaah Menteri ini diberi tempoh selama enam bulan bagi memperoleh dapatan dan cadangan yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat Kabinet untuk tindakan susulan. -UTUSAN ONLINE