Pastri asli dari Perancis tular di Cherating - Utusan Malaysia

Pastri asli dari Perancis tular di Cherating

Keadaan di jalan pantai Cherating, Kuantan, kelihatan pelanggan Cafe Marion beratur panjang sedari pukul 11.00 pagi untuk mendapatkan menu istimewa di cafe tersebut.- UTUSAN/ SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Demi pastri cita rasa Perancis, pencinta makanan itu sanggup beratur panjang biarpun sejauh 100 meter bagi menikmatinya di Cafe Marion yang terletak di Kampung Cherating di sini.

Fenomena itu bermula apabila keunikan dan kelazatan pastri di cafe tersebut mula mendapat perhatian netizen apabila tular di laman sosial Facebook selepas dikongsikan oleh page Rizal Hakimm Punyer dan perkongsian menjangkau 33,000 kali, sejak bulan lalu sehingga fungsi kongsi terpaksa ditutup.

Pemiliknya, Mohammad Khairul Muzaffar Shahnun, 31, yang lebih mesra dengan panggilan ‘Doje’ dalam kalangan penduduk di Cherating berkahwin dengan seorang warga Perancis Marion Allene Fernandaz Abdullah, 29, mula membuka kafe berasaskan hidangan pencuci mulut itu sekitar Disember 2019.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohammad Khairul berkata, sebelum ini kafenya juga terpaksa ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun mendapat perhatian di luar jangkaan apabila orang ramai mula mengunjungi Cherating selepas kerajaan membenarkan aktiviti riadah.

“Rata-rata yang datang ke sini sememangnya ingin merasai pastri asli Perancis yang dibuat khas secara buatan tangan dan kami juga tidak sangka dan turut teruja sambutannya begitu luar biasa.

“Pembukaan kafe ini adalah secara kecil-kecilan sahaja yang mana tujuannya untuk berkongsi beberapa citarasa Perancis yang sebenar sambil kami membesarkan anak-anak yang masih kecil.

“Tidak pernah menyangka ramai peminat hidangan manisan dan sanggup datang walaupun tinggal jauh dari kawasan Cherating ini,” kata bapa kepada dua anak itu ketika ditemui di cafenya di sini semalam.

Mohammad Khairul berkata, kafe diusahakan tersebut adalah bersempena nama dan makanan kesukaan isterinya yang kini menggunakan nama Islamnya, Nadia Marion Allene Fernandez Abdullah.

“Penjagaan kualiti sangat penting, kami cuba selarikan citarasa masyarakat di Perancis dan Malaysia, tambahan pula semua pilihan jenis pemanis mulut yang dijual adalah resepi dan antara kegemaran Nadia Marion ketika di Perancis.

“Saya pernah menetap dia rumah keluarganya selama tiga bulan sebelum pulang ke Malaysia untuk berkahwin, apa yang kami jual seperti strawberi tart, walnut tart atau creme brulee sering dihidangkan setiap kali selepas makan.

“Ketika di awal pembukaan Cafe Marion, kami sudah pun mendapat sambutan yang menggalakkan namun tidak sehebat ini hinggakan terpaksa menambah pengeluaran sehingga lima kali ganda,” katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati pelanggan Cafe Marion mula mengungjungi kafe tersebut seawal pukul1 1 pagi lagi untuk beratur panjang sedangkan ia dibuka sekitar pukul 1 tengahari.

Terdapat 13 jenis hidangan pemanis dan pencuci mulut yang disediakan dengan tawaran harga antara RM7 hingga RM15. Cafe Marion dibuka setiap Khamis hingga Isnin dan tutup pada hari Selasa serta Rabu.

Seorang pelanggan, Nurul Ashikin Manaf, 27, dari Gebeng, dekat sini, berkata, dia sanggup mengambil cuti khas untuk mendapat barisan paling hadapan.

“Dalam tempoh dua minggu kafe ini yang dilihat semakin tular, saya sudah tidak sabar untuk datang dan saya cuba mencari masa yang sesuai. Memandangkan saya pencinta pastri jadi saya sanggup ambil cuti bagi tidak mengganggu kerja.

“Alhamdulillah… dapat juga pilihan yang diinginkan dan kira berbaloi juga saya datang seawal pukul 11 pagi kerana dapat tempat paling hadapan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN