[PARLIMEN] PAC syor PR1MA dapat pampasan LAD berjumlah RM91.9 juta - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] PAC syor PR1MA dapat pampasan LAD berjumlah RM91.9 juta

WONG KAH WOH 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan kerajaan menguatkuasakan pemberian pampasan kepada Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) untuk mendapatkan Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) berjumlah RM91.9 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) merangkap Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh berkata, pihaknya merumuskan PR1MA tidak seharusnya mengetepikan hak untuk mendapatkan LAD yang sepatutnya jumlah itu boleh digunakan sebagai set off terhadap tuntutan daripada kontraktor.

PAC juga mengesyorkan supaya semua dasar kerajaan bagi penyediaan kediaman mampu milik untuk rakyat hendaklah bersifat lestari serta mempunyai perancangan pembiayaan yang baik dari segi peruntukan atau geran kerajaan.

Selain itu, menurutnya, perjanjian yang dimeterai oleh agensi kerajaan hendaklah mengguna pakai amalan terbaik yang sentiasa melindungi kepentingan kerajaan.

“PR1MA wajib melaksanakan usaha wajar dalam pembinaan kediaman mampu milik dari segi kesesuaian lokasi, saiz rumah dan kehendak pasaran untuk mengelakkan lambakan hartanah yang tidak terjual dan kerugian geran yang diberikan kerajaan.

“Selain itu, PR1MA hendaklah mengutamakan ketelusan dalam urusannya dengan kontraktor dan pemilik tanah dalam pemilikan tapak dan lokasi pembangunan bagi mengelakkan projek yang dibangunkan menjadi konsep berpaksikan kontraktor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi merumuskan pembentangan laporan PAC Parlimen mengenai tuntutan faedah atas kelewatan projek perumahan PR1MA di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Perbadanan PR1MA.

Terdahulu, PAC Parlimen memulakan prosiding mengenai isu tersebut pada 11 Januari lalu dengan memanggil Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Zainal Abidin Abu Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Mohd. Nazri Md. Shariff.

PR1MA yang ditubuhkan pada 2012 di bawah Akta PR1MA 2012 menghadapi masalah aliran tunai yang mengakibatkan penjualan unit-unit rumah tidak berkesan.

Justeru, melalui pelaksanaan Transformation Blueprint 2018-2020 dan Pelan Rasionalisasi PR1MA sejak 2018 telah berjaya membantu dalam penjualan unit-unit PR1MA dan tidak lagi bergantung kepada Geran Pembangunan daripada kerajaan untuk beroperasi.

PAC merumuskan, PR1MA menghadapi masalah aliran tunai akibat kekangan peruntukan kerajaan yang diterima melalui geran pembangunan dan jualan hartanah pembangunan yang perlahan.

Malah, PR1MA juga telah dikenakan faedah atas kelewatan berjumlah RM53.72 juta oleh kontraktor dan tuan tanah bagi lima yang projek yang telah dibatalkan melibatkan Projek Residensi Parit Melana, Residensi Alor Gajah, Residensi Batu Feringgi, Residensi Batu Rakit dan Residensi Kota Marudu 2.

Tambahnya, Pelan Rasionalisasi Projek PR1MA di bawah rangka tindakan (blueprint) yang sama yang dilaksanakan pada tahun 2019 telah mengurangkan pendedahan kewangan Kos Pembangunan Kasar (GDC) daripada RM23 bilion kepada RM14 bilion serta mengurangkan pergantungan kepada geran kerajaan.

“PR1MA mengambil langkah memperbaharui model perniagaan secara berasaskan jualan dan menandatangani Perjanjian-Perjanjian Tambahan untuk menambah baik MEBPA yang membantu memperbaiki jualan dan menambah baik keadaan semasa keadaan semasa kewangan PR1MA,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN