KUALA LUMPUR : Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) (Pindaan) 2021 untuk bacaan kali pertama dibentangkan Kementerian Kewangan (MOF) di Dewan Rakyat hari ini.
Pembentangan RUU itu dibuat oleh Timbalan Menteri Kewangan, Mohd. Shahar Abdullah untuk membuat pindaan terhadap Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988 (Akta 399).
Ia adalah bagi memasukkan bahagian baharu iaitu Seksyen 6 (c).
Ia bertujuan membenarkan dana KWAN digunakan untuk perolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan berhubung vaksin bagi sesuatu wabak apa-apa penyakit berjangkit seperti dinyatakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Mohd Shahar berkata, bacaan kali kedua untuk RUU itu akan dibuat pada sesi mesyuarat kali ini. -UTUSAN ONLINE










