KUALA LUMPUR : Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) menarik diri daripada pencalonan bagi jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
Jelasnya, ini kerana beliau mahu memberi fokus kepada gerak kerja parti khususnya kini berdepan dengan krisisi politik yang berlaku di Melaka.
“Saya telah berbincang dengan Presiden UMNO, tiga Naib Presiden termasuk Perdana Menteri dan saya telah buat keputusan untuk tarik diri dariapda pencalonan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
“Sebab saya ingin tumpukan perhatian gerak kerja sebagai Setiausaha Agung UMNO yang perlukan banyak masa, lebih-lebih lagi suasana mencabar yang kita tahu politik saat dan ketika ini,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Jelas Ahmad Maslan, keputusan itu telah dimaklumkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pagi ini.
Berikutan itu, jelas beliau lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menamakan calon baharu dalam tempoh dua hari lagi.
“Jika tidak, ia tidak akan memenuhi syarat 14 hari sebelum persidangan Dewan Rakyat akan datang pada 25 Oktober nanti,” tambahnya.
Ketika ditanya mengapa keputusan ini dibuat secara tiba-tiba, Ahmad Maslan berkata, beliau pada asalnya menghormati keputusan Perdana Menteri yang mencalonkan namanya sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
Namun setelah perbincangan diadakan, keputusan tarik diri itu dipersetujui antara pimpinan parti termasuk Ismail Sabri, namun berharap 20 cadangan transformasi parlimen yang dibawa olehnya dapat diteruskan.
“Satu lagi sebab kenapa saya tarik diri, seperti contoh semalam saya perlu hadir mesyuarat jam 2 petang, 4 petang, 6 petang, mesyuarat 8 malam lagi. Bagaimana saya ingin ada di dua tempat?Jadi itu menyebabkan salah satu sebab kenapa saya tarik diri.
“Kemudian kerana ada kawan-kawab sebut bila jadi Timbalan Speaker, saya tidak boleh bercakap lagi di Dewan Rakyat, saya antara yang suka bagi cadangan. Saya suka bangun dan bercakap, bertanya dan mencelah. Kalau jadi Timbalan Speaker nak cakap apa? Bangun duduk?
“Jadi fungsi aktif itu tidak dapat diteruskan,” ujarnya lagi.
Ketika ditanya sama ada keputusan menarik diri daripada calon Timbalan Speaker mempunyai kaitan dengan pendirian Perikatan Nasional (PN) yang tidak bersetuju mempunyai tiga Timbalan Speaker, Ahmad Maslan menafikannya.
“Keputusan dah dibuat adalah semalam, Dan tidak ada kaitan dengan apa yang diputuskan PN,” ujarnya lagi. -UTUSAN ONLINE










