BALING: Jabatan Kesihatan Negeri(JKN) menolak dakwaan seorang pelajar perempuan dari daerah ini yang meninggal dunia pada 25 September lalu berpunca daripada suntikan vaksin Covid 19.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Othman Warijo berkata, hasil siasatan mendapati mangsa merupakan seorang remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan lagi pelajar sekolah.
“Hasil laporan, remaja terbabit telah menerima satu doa suntikan vaksin Covid 19 pada 5 September lalu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Dewan Tun Abdul Razak, Baling.
“Pada 19 September, remaja itu mengadu sakit perut dan telah diberi rawatan di Hospital Baling,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, selepas 20 hari selepas divaksin iaitu pada 25 September, remaja itu dibawa ke Hospital Baling selepas tidak sedarkan diri.
Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati tahap kesihatan remaja tersebut cepat merudum dan kemudian disahkan meninggal dunia.
“Jenazah remaja terbabit dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan hasilnya mendapati arwah meninggal dunia disebabkan ‘ruptured thoracic aneurysm’ dan tiada kaitan dengan suntikan vaksin Covid 19.”
“Laporan penuh bedah siasat sedang disediakan dan JKN mengucapkan takziah kepada keluarga arwah atas kehilangan anak mereka,” kata Dr. Othman.
Katanya lagi, beliau menasihati masyarakat agar mengelakkan mempercayai berita yang tidak disahkan dan dapatkan maklumat yang betul dan tepat berkaitan Covid 19 serta vaksinasinya.
Sebelum ini, tular dalam media sosial mengenai seorang remaja perempuan yang didakwa meninggal dunia akibat dicucuk vaksin di Baling. -UTUSAN ONLINE