MPPK saran teruskan skim MyHome 2.0  - Utusan Malaysia

MPPK saran teruskan skim MyHome 2.0 

MUHAMMAD AMIR ASYRAF MOHD. SABRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menyarankan Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) 2.0 perlu diteruskan dan dilaksanakan dengan lebih cepat. 

Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, perkara tersebut perlu dilaksanakan bagi memastikan lebih ramai rakyat terutamanya golongan muda mendapat peluang membeli rumah sendiri yang mampu milik lantas agenda Keluarga Malaysia dapat diperkasakan.

Katanya, MPPK melihat perkara itu sebagai satu langkah yang betul dan tepat pada masanya kerana lebih 75 peratus anak muda yang berhasrat untuk membeli rumah terpaksa melupakan hasrat mereka kerana keperluan pembayaran deposit yang tinggi.

“Dengan lebih 85 peratus daripada 7000 pembeli datangnya daripada anak muda berusia 25 hingga 35 tahun, skim itu perlu diteruskan. 

“Ini kerana ia terbukti dapat membantu bukan sahaja anak muda membeli rumah, tetapi juga membantu golongan pemaju untuk membina dan menjual rumah mampu milik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Semalam, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dijangka mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan untuk mempertimbangkan bagi mengadakan semula skim MyHome agar dapat membantu individu berusia 18 tahun ke atas memiliki rumah pada usia yang muda.

Skim MyHome diperkenalkan pada tahun 2014 yang memperuntukkan sebanyak RM300 juta dengan sasaran untuk membina kira-kira 10,000 unit rumah kos rendah di seluruh negara. 

Pembeli diberikan rebat sehingga RM30,000 untuk satu unit, maka kerajaan akan membayarkan deposit tersebut selagi nilainya bersamaan dengan RM30,000 atau lebih rendah.

Menurut Muhammad Amir Asyraf, MPPK juga menyokong hasrat kerajaan dibawah KPKT untuk mengkaji semula model bagi membolehkan golongan muda memiliki rumah sendiri.

“MPPK menyambut hasrat untuk mengkaji semula model dan mewujudkan semula skim MyHome 2.0 bagi membantu individu berusia 18 tahun ke atas memiliki rumah pada usia yang muda,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN