KLANG: Satu mayat ditemukan dalam keadaan rentung dalam sebuah kereta yang terbakar di dalam ladang kelapa sawit di Kampung Perepat, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, mayat tersebut ditemukan oleh orang awam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Kancil itu hangus terbakar dan satu mayat ditemukan pada bahagian tempat duduk belakang dengan kesan terbakar 90 peratus.
“Sebaik menerima maklumat, anggota kita bersama bantuan Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) serta Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dihantar ke lokasi kejadian.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku lebih kurang dua ke tiga hari berdasarkan ulat yang terdapat pada mayat tersebut,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Vijaya Rao memberitahu, siasatan dijalankan mendapati kereta tersebut milik seorang wanita tempatan yang tinggal dalam daerah ini.
“Menurut pemilik kenderaan terbabit, kereta itu dipandu bapanya yang telah keluar rumah sejak seminggu lalu.
“Wanita itu ada membuat laporan polis kerana bapanya tidak pulang ke rumah,” ujarnya.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga laporan bedah siasat diperoleh. -UTUSAN ONLINE