Masukkan pembinaan Hospital Padang Besar, SK Chuping dalam RMK12 - Utusan Malaysia

Masukkan pembinaan Hospital Padang Besar, SK Chuping dalam RMK12

NATTHAVUTH SENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri menggesa kerajaan memberi perhatian khusus di negeri ini terutama membabitkan sektor pendidikan dan kesihatan.

 

Ketua Penerangan AMK negeri, Natthavuth Seng berkata, antaranya, projek pembinaan Hospital Padang Besar wajar dimasukkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) kerana ia membantu meningkatkan kemudahan kesihatan di negeri ini.

 

Katanya, kerajaan sudah pastinya sedar bahawa projek berkenaan sebenarnya telah dirancang semasa RMK9, namun, sehingga kini hanya papan tanda sahaja yang mampu dinaikkan.

 

Ujarnya, selain itu, isu penutupan Sekolah Kebangsaan (SK) Chuping baru-baru ini juga perlu diberikan perhatian dengan kerajaan sepatutnya sudah mempunyai cadangan lokasi baharu pembinaan sekolah itu.

 

“Langkah menempatkan murid-murid sekolah rendah bercampur dengan murid-murid sekolah menengah dikhuatiri mengundang masalah sosial kerana jurang umur terlalu jauh. 

 

“Di samping itu, dengan perkongsian tersebut juga memberi kesan kepada tenaga pengajar yang perlu berkongsi fasiliti yang serba kekurangan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mata Ayer.

 

“Justeru, kita menggesa kerajaan agar mengutamakan pembinaan Hospital Padang Besar serta menentukan lokasi baharu pembinaan SK Chuping itu dapat dimasukkan ke dalam RMK12,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Sementara itu, Natthavuth berkata, pihaknya menyambut baik dan menyokong penuh kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar kerajaan menangguhkan terlebih dahulu pelaksanaan projek mega sebaliknya fokus terlebih dahulu kebajikan rakyat.

 

“Dengan situasi pengangguran yang semakin meningkat serta sistem pendidikan yang tidak menentu maka tiada sebarang faedah bagi projek-projek mega untuk diteruskan. 

 

“Justeru, kerajaan wajib menumpukan kepada kebajikan rakyat kerana kehidupan rakyat masa kini semakin tertekan dengan kos sara hidup yang meningkat susulan kenaikan harga barang mentah, kadar kenaikan gaji yang terlalu rendah dan lain-lain lagi,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN