Masalah lif, tangki air tambah sengsara penduduk - Utusan Malaysia

Masalah lif, tangki air tambah sengsara penduduk

PENDUDUK Pangsapuri Seri Perantau di Pelabuhan Klang, Klang, Selangor, Masitah Alang Mat Piah menaiki tangga sambil mengangkat bekalan air bersih ke rumahnya di tingkat 4 ekoran kerosakan lif semalam. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Masalah lif dan tangki air di Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang di sini, menambah keperitan penduduk terutama warga emas ketika berlakunya gangguan bekalan air.

Kesulitan itu dihadapi berikutan hanya satu lif di setiap 12 blok pangsapuri berkenaan berfungsi selain beberapa tangki didakwa rosak sejak sekian lama.

Setiausaha Jawatankuasa Bertindak penduduk kawasan itu, Shamsul Anuar Abdul Halim, 53, berkata, masalah berkenaan menyebabkan hampir 8,000 penduduk terpaksa bersesak mendapatkan bekalan air sekiranya stok simpanan kehabisan.

“Setiap blok pangsapuri mempunyai dua lif namun hanya satu daripadanya berfungsi sekali gus menyukarkan penduduk untuk mengangkut air.

“Selain itu, beberapa tangki mengalami kerosakan hingga menyebabkan air tidak dapat disalurkan sepenuhnya ke rumah penduduk sebelum gangguan bekalan berlaku,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Bagi Silimah Budin, 64, masalah itu sememangnya menambah kesengsaraan penduduk warga emas sepertinya.

“Saya terpaksa menyimpan air di beberapa tong dan botol sejak semalam yang diharap mencukupi sepanjang tempoh gangguan.

“Ia berikutan saya tidak berdaya dan enggan bersesak menggunakan lif sama untuk mengambil bekalan air,” kata nenek kepada tiga cucu itu.

Dalam pada itu, penduduk yang juga Pengerusi Blok D, Zainul Abidin Abu Hassan, 57, berkata, sebanyak tujuh kali masalah kerosakan lif berlaku di blok berkenaan tahun ini.

“Kejadian itu turut menyebabkan tiga penduduk turut terperangkap dan kita tidak mahu keadaan sama terus berlaku.

“Selain kesesakan akibat kekurangan lif, penduduk berdepan risiko tinggi terdedah kepada pandemik Covid-19,” katanya.

Justeru, dia berharap pihak berkaitan terutama kerajaan negeri memandang serius bagi menyelesaikan masalah lif dan tangki utama yang perlu diselenggara serta diganti baharu.

Pangsapuri itu terbahagi kepada dua fasa yang menempatkan 1,656 rumah masing-masing setinggi lapan dan sembilan tingkat.

Sebanyak 998 kawasan di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air berjadual sehingga Sabtu ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN