Maritim Malaysia giat kesan nelayan hilang - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia giat kesan nelayan hilang

ANGGOTA pasukan penyelamat daripada Maritim melakukan operasi pencarian mangsa di kawasan perairan Kuala Selangor, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama beberapa agensi lain sedang giat mencari seorang kru nelayan yang hilang, kira-kira 13.6 batu nautika barat daya di dalam perairan Kuala Selangor, sejak 6 Oktober lalu.

 

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim Mohd. Rosli Kassim berkata, kejadian itu berlaku setelah bot nelayan yang dinaiki mangsa bersama dua orang rakannya, iaitu seorang tekong dan kru bot karam akibat dipukul ombak. 

 

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor telah menghubungi kami semalam  bagi memohon bantuan untuk mencari mangsa masih hilang yang dikenali sebagai Sutri, 21, warganegara Indonesia.

 

“Menurut mangsa, mereka berjaya berenang bagi menyelamatkan diri, namun, tidak dapat menjejaki Sutri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Susulan permohonan daripada bomba, Maritim Selangor telah mengaktifkan Operasi Carilamat bersama Pasukan Polis Marin (PPM) serta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada hari semalam.

 

Kata Mohd. Rosli, operasi mencari disambung hari ini kira-kira pukul 7 pagi dengan menggunakan beberapa aset Maritim serta agensi terbabit.

 

“Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) juga telah ditubuhkan di jeti milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Selangor.

 

“Operasi Carilamat hari ini merangkumi keluasan 143.4 batu nautika persegi dengan tumpuan kawasan pencarian di dalam kawasan perairan Kuala Selangor,” ujarnya.

 

Mohd. Rosli meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden tersebut di talian MERS999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN