PUCHONG: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan mewujudkan lebih banyak stok penimbal hasil laut di beberapa negeri bagi memastikan keselamatan makanan negara terus terjamin.
Pengerusinya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, pihaknya ketika ini sudah mula mewujudkan stok penimbal secara agresif termasuk menyemak stok penimbal sedia ada yang sedang beroperasi.
Beliau berkata, untuk tujuan itu, pihaknya baru sahaja meluluskan pembinaan stok penimbal hasil laut di Kuala Besut, Terengganu yang berkapasiti 500 metrik tan.
“Pada masa sama, kami turut merancang menyediakan stok penimbal di Kuantan, Pahang dengan kapasiti 400 metrik tan.
“Kita juga merancang membinanya di Kuala Kedah dengan kapasiti 2,000 metrik tan selain di Perak, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan prapelancaran sambutan Jubli Emas 50 Tahun LKIM di sini, semalam.
Syed Abu Hussin berkata, usaha mewujudkan stok penimbal hasil laut itu penting bagi menyediakan sumber protein mencukupi kepada rakyat.
Beliau berkata, pada masa sama, ia dapat mengatasi masalah kekurangan bekalan hasil laut di pasaran tempatan dan persediaan bekalan pada musim tengkujuh.
Dalam pada itu, Syed Abu Hussin berkata, negara tidak pernah mengalami keputusan bekalan hasil laut khususnya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.
“Malah, bekalan ikan juga berlebihan. Ini bermakna kami berjaya melalui tempoh yang getir itu kerana kita tidak berdepan isu keputusan bekalan makanan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










